Lelaki Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir

| January 6, 2021 | 0 Comments

Lelaki Lemas Ketika Bantu Mangsa Banjir | Kuala Krai – Seorang lelaki ditemui mati dipercayai lemas ketika membantu penduduk kampung berpindah di Kampung Manjur di sini semalam.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang mendayung perahu ketika membawa dua penumpang terjejas banjir ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan kira- kira pukul 9 hingga 10 malam.

Mangsa, Mohammad Hakimin Rahim, 20, aktif membantu penduduk kampung sejak daripada pagi semalam, namun tiba-tiba pengsan lalu terjatuh dari perahu ke dalam sungai.

Bagaimanapun, mayat mangsa ditemui oleh ahli keluarganya pada pukul 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, mangsa kepenatan sehingga menyebabkan berlaku kekejangan pada bahagian anggota badan sebelum pengsan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira- kira pukul 10.07 malam tadi.

“Selepas itu, gerakan mencari dan menyelamat dilakukan bersama lima anggota di lokasi tersebut sehingga pukul 12.30 malam.

“Gerakan mencari dan menyelamat disambung semula pagi ini. Bagaimanapun, keluarga mangsa telah memaklumkan bahawa mayat lelaki itu sudah ditemui pada pukul 8.30 pagi ini di lokasi tempat dia jatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Yahya Petra Kuala Krai untuk bedah siasat.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *