Lelaki Lemaskan Kucing Dalam Mesin Basuh Sudah Dijumpai Dan Ditahan.

| July 12, 2020 | 0 Comments

Lelaki Lemaskan Kucing Dalam Mesin Basuh Sudah Dijumpai Dan Ditahan. | Sebaik menyedari kejadian itu tular, saya yang bimbang lelaki kurang siuman terbabit kemungkinan dicederakan terus keluar mencarinya di sekitar kawasan perumahan selepas Maghrib malam tadi,” kata Nur Hafizah Mohd Yusof, 38.

Dia individu yang menemui lelaki berusia 30-an yang membunuh tiga kucing secara kejam dengan ‘dilemaskan’ dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong, semalam.

Nur Hafizah berkata, dia menyedari kejadian itu selepas gambar lelaki terbabit melakukan perbuatan itu tular dan turut dikongsi penduduk di Aman Puri.

Menurutnya, lelaki terbabit sebenarnya kurang siuman dan hidup gelandangan selama ini selepas kematian ibu bapanya.

“Dia kebiasaannya akan merayau dan berjalan kaki dari Aman Puri ke Taman Ehsan Kepong dan selalunya tidur di parkir di kawasan perumahan ini.

“Saya nekad mencarinya malam tadi kerana bimbang jika orang lain yang menemuinya kemungkinan dia akan dipukul dan mujur menemuinya kira-kira 9 malam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, selepas menemuinya rakan saya, Azhar juga datang membantu dan membawanya ke rumah sebelum menghubungi polis.

“Ketika itu, dia langsung tidak bertindak agresif dan tidak lama kemudian polis datang sebelum empat pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar tiba kira-kira 12 tengah malam.

“Saya juga ada memberitahu kepada pegawai terbabit keadaan lelaki itu dan berharap dia dihantar ke hospital untuk pemeriksaan,” katanya.

Menurut Nur Hafizah, dia yang berpurdah dan berada di dalam salah satu gambar yang tular turut dikecam netizen selepas didakwa adalah isteri kepada lelaki berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kes ini disiasat mengikut Akta kebajikan Haiwan 2015.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Zainita Mohd Noor berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Harian Metro semalam melaporkan luluh hati seorang wanita apabila melihat tiga kucing dibunuh kejam dengan ‘dilemaskan’ dalam tiga mesin basuh di sebuah kedai dobi layan diri di Kepong.

Tindakan kejam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki berusia 30-an.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *