Lelaki Mabuk Ganja Langgar Dua Kenderaan Ditahan | Seorang lelaki dipercayai memandu dalam keadaan mabuk, ditahan selepas melanggar dua kenderaan di Jalan Budiman 2, Taman Sungai Mas dekat Kulai, malam Ahad.

Superintendan Tok Beng Yeow, Ketua Polis Daerah Kulai, berkata, dalam kejadian kira-kira 8.15 malam, individu berusia 51 tahun dan memandu Proton Saga itu ditahan di lokasi kejadian.

Beliau berkata, lelaki itu melanggar bahagian belakang dua kereta jenis Proton Persona, namun kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Beliau juga menyatakan bahawa pada awalnya, anggota polis peronda (MPV) menerima maklumat mengenai individu itu yang ditangkap oleh orang awam berikutan kemalangan terbabit.

Beliau berkata menerusi kenyataan pada Isnin, sebaik tiba di lokasi kejadian, didapati individu itu disyaki dalam keadaan mabuk dan hasil siasatan mendapati dia telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan dua buah kereta yang ketika itu berhenti di persimpangan jalan.

Jelas beliau, suspek positif ganja dan mempunyai rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Lelaki Mabuk Ditahan Polis Akibat Rosakkan Bendera Parti Politik ‘Ini’

Seorang lelaki disyaki mabuk ditahan kerana mematahkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) dalam satu kejadian di Taman Senai Utama, Senai di sini lewat tengah malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek ditahan pada pukul 12.15 tengah malam berusia 58 tahun.

Menurut beliau, lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi tidak aman. Dia bertindak mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.

“Polis kemudiannya telah menahan suspek yang berusia 58 tahun tersebut. Dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beng Yeow turut memberitahu, pihaknya menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Sementara itu, Calon BN bagi kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon memberitahu, suspek turut bertindak memarahi jenteranya yang sedang memasang bahan kempen tersebut.

“Jentera kempen bukan sahaja dimarah dan dihalang, malah bendera yang telah dipasang turut ditanggalkan. Kerana enggan terlibat dengan pertikaian tersebut, jentera kami berundur daripada kawasan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung gangguan itu.

“Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut yang disifatkan merupakan satu strategi kempen tidak sihat yang tidak sepatutnya berlaku pada masa kini,” katanya.

Sumber: Kosmo

Lelaki Mabuk Hampir Hilang Nyawa Selepas 20 Minit Dililit Ular

Seekor ular sawa hampir membelit seorang lelaki yang sedang memancing di sebatang sungai berhampiran kawasan Parihara Panchayat, Jharkhand, India baru-baru ini.

Ketika kejadian, lelaki yang juga seorang warga emas dikenali sebagai Birjalai Ram itu dikatakan sedang mabuk sebelum menemui ular sawa terbabit berhampiran dengan sungai.

Dia kemudian mengambilnya dan meletakkan di leher serta membiarkan reptilia itu sehingga haiwan tersebut membelit.

Selepas beberapa ketika, dia mula berasa sesak nafas dan berusaha untuk menjerit bagi meminta pertolongan kepada anak lelakinya.

Melihat keadaan itu, anaknya segera membantu untuk melepaskan ular tersebut daripada terus membelit leher mangsa.

Pada mulanya, anaknya cuba merentap ular tersebut sehingga menyebabkan warga emas itu terjatuh ke dalam sungai.

Anaknya bersama seorang lagi rakan kemudiannya berusaha untuk ‘membebaskan’ Birjalai Ram, namun tidak berjaya.

Setelah beberapa kali cubaan, dalam tempoh masa 20 minit akhirnya ular tersebut berjaya melepaskan belitan dan dilepaskan di kawasan berhampiran.

Sumber: Majoriti

Share.

Leave A Reply