Lelaki Mabuk Mengamuk Bunuh Anjing Jiran

| November 8, 2020 | 0 Comments

Lelaki Mabuk Mengamuk Bunuh Anjing Jiran | Jasin: Seorang lelaki tergamak membunuh anjing jirannya dengan kejam di Taman Maju, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, lelaki berusia 37 tahun itu dipercayai menceroboh masuk ke dalam garaj rumah jirannya yang juga seorang suri rumah sebelum mengamuk dan mencederakan anjing terbabit dengan menggunakan sebilah parang kecil sebelum haiwan itu dilaporkan mati.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, ketika kejadian, suri rumah berusia 50 tahun itu terdengar salakan anjing peliharaannya beberapa kali lalu meninjau keadaan luar rumah dari tingkap bilik.

Katanya, wanita itu terkejut apabila melihat perbuatan suspek yang juga seorang penganggur mencederakan haiwan berkenaan menggunakan parang kecil.

“Berdasarkan laporan awal, ketika kejadian pintu pagar rumah pengadu tidak berkunci dan suspek masuk sebelum tiba-tiba mengamuk dengan mencederakan anjing itu.

“Melihat perbuatan suspek, wanita berkenaan tidak berani keluar rumah bagi menyelamatkan anjing peliharaannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mispani berkata, anjing berkenaan mengalami kecederaan di perut di mana ususnya terkeluar namun selepas kejadian, ia masih hidup.

Bagaimanapun anjing malang itu mati beberapa jam kemudian akibat kecederaan teruk yang dialami.

“Suspek yang dilihat berada dalam keadaan mabuk kemudian berjalan keluar dari rumah pengadu dan membuat bising dengan menjerit dari luar rumah itu,” katanya.

Kekejaman terhadap anjing itu tular di Facebook (FB) rasmi milik Persatuan Haiwan Malaysia sebelum dikongsi di beberapa kumpulan FB dan WhatsApp.

Mispani berkata, polis sudah menahan suspek pada hari sama kejadian dan merampas sebilah sabit besi dan pisau.

Katanya, lelaki itu direman empat hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana ceroboh dan Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan haiwan.

Sumber : Hmetro

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *