Lelaki Mati Lemas Ketika Seberang Sungai Golok Lepas Jumpa Rakan Di Negara Jiran |TANAH MERAH: Seorang lelaki mati lemas di Sungai Golok dekat Kampung Jenob di sini ketika cuba menyeberangi sempadan Thailand, selepas bertemu dengan dua rakannya di negara itu awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, mayat Mohd. Fikri Nor Azhar, 22, dari Kampung Buyung, Bukit Bunga, Jeli ditemukan terapung di Sungai Jenob, 12 jam kemudian iaitu pada pukul 1.12 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, mangsa dikatakan bertemu dua rakannya di selatan Thai sebelum pulang dengan cara mengharung Sungai Golok.

Katanya, dua rakannya itu yang menghantar lelaki berkenaan di tebing Sungai Golok menyedari mangsa lemas selepas melihat dia tenggelam dan hilang daripada pandangan.

“Dua rakannya itu segera meminta bantuan pasukan bomba Thailand untuk mencari mangsa.

“Kita menerima panggilan daripada pihak polis kira-kira pukul 7.47 pagi semalam sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mencari mangsa” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Mohd. Adni, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kemudian dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor dan BBP Pengkalan Chepa.

“Anggota PPDA mengambil masa 25 minit untuk mencari mangsa dan mayatnya ditemukan enam meter dari lokasi dia didapati lemas kira-kira pukul 1.15 petang,” katanya.

Mohd. Adni dalam pada itu menasihatkan orang ramai yang berdepan kecemasan seumpama itu segera menghubungi talian kecemasan JBPM supaya tindakan menyelamat dapat digerakkan secepat mungkin.

Sumber: Utusan

Share.

Leave A Reply