Penunggang motosikal maut dalam keadaan tragik apabila digilis lori ketika cuba memotong kenderaan berat itu berhampiran sebuah pasar raya besar di Jalan Kuala Kangsar-Sungai Siput dekat Klebang, di sini, malam tadi.

Lelaki Maut Digilis Lori Malam Tadi

Dalam kejadian kira-kira jam 8.05 malam, Muhammad Zuhair Husaini Bohiran, 20, yang menunggang motosikal Honda EX5, maut di tempat kejadian apabila digilis di bahagian tayar belakang lori jenis Isuzu berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki itu bergesel ketika cuba memotong lori dipandu lelaki berusia 53 tahun dari sebelah kiri.

Katanya, ketika kejadian kedua-kedua kenderaan dari arah Jalan Kuala Kangsar, di sini menghala ke Sungai Siput.

“Ketika cuba memotong dari belakang, ‘handle’ (pemegang) motosikal itu bergesel dengan lori terbabit di bahagian depan.

“Ia menyebabkan penunggang jatuh di atas jalan raya sebelum digilis di bahagian tayar belakang lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu lori itu tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat yang dijadual jam 9 pagi ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply