Lelaki Maut Ditetak Rakan Serumah Kerana Mabuk.

| March 29, 2021 | 0 Comments

Lelaki Maut Ditetak Rakan Serumah Kerana Mabuk.TAPAH – Tidak tahan dengan sikap rakan serumah yang sering menimbulkan kacau ketika mabuk dipercayai menjadi punca kejadian bunuh di Kampung Banir, Batu 33, Jalan Temoh di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, S Pushpaharan, 43, maut di tempat kejadian akibat ditetak pada bahagian pipi kiri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki termasuk mangsa merupakan rakan serumah yang bekerja di bengkel kenderaan berhampiran.

Menurutnya, ketika kejadian kesemua mereka berada di bawah pengaruh alkohol.

“Kejadian pertama berlaku pada jam 1 pagi apabila mangsa telah memukul rakannya berusia 51 tahun dan dibawa majikannya mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tapah.

“Setelah pulang, suspek yang berusia 35 tahun pula meninjau bilik mangsa dan menyebabkan berlaku pergaduhan sekali lagi hingga membawa kematian,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini.

Wan Azharuddin berkata, mangsa yang ditemui tersandar pada pintu bilik air dalam salah sebuah bilik kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk dibedah siasat.

“Polis telah menahan suspek, seorang rakan serumahnya dan majikan berusia 50 tahun untuk membantu siasatan.

“Khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dipanggil untuk mengesan senjata yang didakwa suspek dibuang di sungai berhampiran,” katanya.

Katanya, perintah reman akan dipohon pada Rabu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Sumber : SH

Tags: , , , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *