Lelaki Maut Jatuh Berpaut Pada Sky Lift Di Taman Tema. | Seorang lelaki menemui ajal selepas terjatuh semasa berpaut pada bar keselamatan sky lift di taman tema. Baca selanjutnya..

Washington: Seorang lelaki maut selepas terjatuh dari ketinggian 15 meter ketika berpaut pada bar keselamatan permainan jentera angkat (sky lift) di Taman Tema Lagoon di Farmington, Utah, Sabtu lalu.

Tindakan lelaki berusia 32 tahun berkenaan yang berpaut pada bar keselamatan permainan itu dengan tenang sebelum terjatuh turut dirakam di dalam video.

Daily Star melaporkan saksi yang berada di lokasi terbabit memaklumkan lelaki itu kelihatan tenang dan tidak menunjukkan sebarang usaha untuk masuk semula ke dalam gondola.

Ketua Polis Farmington, Wayne Hansen berkata, pihaknya masih melakukan siasatan berkaitan tindakan lelaki itu yang berbuat demikian.

“Ujian toksikologi akan dilakukan sebagai salah satu prosedur bedah siasat.

“Pemeriksaan dilakukan terhadap bar keselamatan permainan itu juga mendapati ia berfungsi dengan baik,” katanya.

Katanya, lelaki itu menaiki permainan berkenaan bersendirian, namun ditemani ahli keluarganya ketika datang ke taman tema terbabit.

“Pihak pengurusan taman tema bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan berhubung kejadian ini.

“Ini berkaitan apa yang dia lakukan dan kenapa. Beberapa perkara itu mungkin tidak akan dapat kita ketahui,” katanya.

Panggilan kecemasan yang pertama berhubung insiden itu dibuat kira-kira jam 6 petang, 15 Ogos lalu.

Lelaki itu yang berada dalam keadaan kritikal dibawa ke Hospital Universiti Utah menggunakan helikopter dan dilaporkan meninggal dunia, Isnin lalu.

Sumber : MyMetro

Share.

Leave A Reply