Lelaki Maut Jatuh Pelantar

| June 17, 2020 | 0 Comments

Lelaki Maut Jatuh Pelantar | “Apabila jiran datang ambil saya di tempat kerja, saya sudah mula berasa ada sesuatu yang tidak kena,” kata Rohani Md Isa selepas suaminya meninggal dunia kerana terjatuh ketika melakukan kerja membina rumah di Kampung Tok Kah dekat Dungun pagi hari ini.

Menurutnya, luluh hatinya melihat jasad suami yang sudah tidak bernyawa apabila tiba di tempat kejadian,

Dalam kejadian pada 11.20 pagi itu, Rosli Yusoff, 54, dipercayai terjatuh ketika sedang melakukan kerja menyimen di atas sebuah pelantar besi setinggi kira-kira lima meter.

Rohani, 49, berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah mengambil upah membina rumah seorang penduduk tidak jauh dari rumahnya sejak Mac lalu.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suami menghentikan kerja itu dan semalam, dia bersama rakannya menyambung semula kerja pembinaan itu.

“Dia menghantar saya ke tempat kerja pada jam 8.30 pagi tadi dan saya sempat bersalam dengannya sebelum dia ke tempat kerjanya,” katanya yang mengambil upah membuat manisan.

Menurutnya, dia sama sekali tidak menyangka suaminya itu terbabit dalam kemalangan itu kerana tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap.

“Jiran saya datang dalam keadaan tergesa-gesa dan meminta saya segera masuk ke dalam keretanya sebelum ke tempat kejadian dan setibanya di situ baru saya tahu suami terbabit dalam kemalangan itu.

“Arwah sebelum ini tidak pernah menghidap sebarang penyakit dan hanya sesekali mengadu sakit kepala,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, ketika kejadian mangsa sedang bekerja di atas pelantar manakala rakannya, Radin Dura, 55, membantunya di bawah.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian dan mayatnya dibawa anggota polis ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sumber : MyMetro

Tags: , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *