Lelaki Maut Motosikal Rempuh Tiang Telefon Tumbang

| January 28, 2021 | 0 Comments

Lelaki Maut Motosikal Rempuh Tiang Telefon Tumbang | Kuala Krai – Seorang penoreh getah maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebatang tiang telefon yang tumbang merintangi jalan di Kilometer 69.9, Jalan Kota Bharu – Gua Musang dekat Guchil 7 di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 malam itu, mangsa, Hanafi Yusof, 45, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamed berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dan sedang dalam perjalanan dari Kampung Bedal di sini ke bandar Kuala Krai.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak sebatang tiang telefon yang telah tumbang sehingga menghalang laluan utama jalan raya.

“Insiden itu menyebabkan motosikal mangsa merempuh tiang telefon itu sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sebelum berlaku kemalangan itu, tiang telefon yang berada di tepi jalan itu tumbang merintangi jalan dipercayai akibat dirempuh sebuah lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Suzaimi, bagaimanapun, pemandu lori itu dipercayai telah melarikan diri bersama kenderaan yang dipandunya itu.

Katanya, berdasarkan siasatan, nahas yang melibatkan penunggang motosikal itu berpunca daripada kecuaian pemandu lori tersebut.

“Polis kini sedang mengesan pemandu lori yang menyebabkan punca berlakunya kemalangan itu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismal Petra di sini untuk proses bedah siasat,” katanya

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *