Lelaki Maut Selepas Motosikal Ditunggangi Langgar Kerbau | Seorang tukang kebun maut apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dipercayai terlanggar kerbau melintas di kilometer 2.6 Jalan Pedas-Kundur-Linggi, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.01 pagi itu, mangsa, Noor Azmi Mohd Noor, 56, beralamat di Taman Chembong Jaya (TCJ) disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Hazri Mohamad, kemalangan membabitkan motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa yang merupakan tukang kebun Sekolah Kebangsaan (SK) Pedas.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Pedas menghala ke Kundur. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah hilang kawalan akibat terlanggar binatang di percayai kerbau lalu terbabas ketengah jalan dan jatuh di tempat kejadian.

“Akibat kemalangan, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan koyak di bahagian dada sebelah kiri telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hazri berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat selepas keputusan ujian calitan COVID-19 diperolehi.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply