Seorang lelaki maut akibat tercampak keluar dari kereta dipandunya yang dilanggar dari belakang dan terbabas di Kilometer 37.1 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, pemandu Perodua Viva berusia 42 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian yang turut membabitkan tiga kereta itu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 6.10 pagi berhubung kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu dua Perodua Viva dan sebuah Proton Persona.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu sebuah Perodua Viva dilanggar dari belakang Proton Persona dipandu seorang lelaki dari arah sama.

“Pelanggaran itu menyebabkan kereta Perodua Viva terbabit terbabas ke kiri jalan.

“Pada masa yang sama, datang sebuah lagi Perodua Viva melanggar bahagian belakang Proton Persona,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Viva yang terbabas ke kiri jalan dan berusia 42 tahun, parah di bahagian badan dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemandu sebuah lagi Perodua Viva wanita berusia 37 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan, manakala, pemandu Proton Persona dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh orang awam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Bahtiar Selamat berkata, pihaknya turut menerima panggilan kecemasan berhubungan kemalangan itu dan bergegas ke lokasi bagi membantu menyelamatkan mangsa kemalangan yang dilaporkan tercampak keluar dari kenderaan sejauh kira-kira dua meter.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.23 pagi dan seramai tujuh anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Salah seorang pemandu Perodua Viva tercampak sejauh dua meter dari keretanya akibat kemalangan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di sini.

Operasi yang diketuai Komander Operasi Fauzi Che Deris itu ditamatkan pada jam 7.30 pagi.

Sumber : Harian Metro

Share.

Leave A Reply