Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Harung Banjir

| January 6, 2021 | 0 Comments

Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Harung Banjir | Rantau Panjang – Niat murni seorang lelaki yang menemani rakannya untuk mengambil pakaian dan pulang semula ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Sri Rantau Panjang di sini tidak kesampaian apabila dia maut terkena renjatan elektrik malam tadi.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa Muhammad Azuwan Amran, 19, dikatakan telah memegang tiang lampu ketika mengharung banjir di simpang empat berdekatan sebuah stesen minyak.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu berada di hadapan telah berpegang pada tiang lampu yang terdapat di lokasi kejadian.

Menurutnya, secara tiba-tiba mangsa telah mengerang kesakitan dan terus rebah ke dalam air.

“Rakannya cuba menghampiri mangsa, namun tidak dapat mendekati Muhammad Azuwan kerana turut merasai terdapat arus elektrik.

“Rakannya itu kemudian telah mengambil kayu dan menarik mangsa ke tempat selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Roy Suhaimi memberitahu, mangsa kemudian telah dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang untuk tindakan lanjut hasil bantuan orang ramai.

Katanya, pegawai perubatan yang telah hadir ke BBP Rantau Panjang untuk melakukan pemeriksaan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Lati, untuk di bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Sumber : Kosmo

Tags: , , , , ,

Category: KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *