Lelaki Maut Terkena Renjatan Elektrik Ketika Redah Banjir | Dengkil – Seorang lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik ketika melalui sebuah premis perniagaan di Taman Deluxe di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui dalam terbaring tanpa sedarkan diri.

Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Cyberjaya, Shafizol Mohd. Nor berkata, kejadian berlaku ketika bomba sedang melakukan kerja menyelamat penduduk di Taman Mas dan Taman Aman, di sini, untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian, pihaknya menggunakan menggunakan tali untuk menarik mangsa.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan mayat di bawa ke Hospital Putrajaya oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, susulan kejadian itu, pihaknya mengarahkan supaya Tenaga Nasional Berhad (TNB) memotong bekalan elektrik di kawasan itu bagi mengelak insiden sama berulang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusuf ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan waris mangsa sudah membuat laporan polis di Balai Polis Cyberjaya bagi memaklumkan kematian.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply