Lelaki Maut Tersepit, Treler Jatuh Gaung Sedalam 10 Meter | BENTONG – Seorang lelaki maut akibat tersepit dalam treler muatan pasir yang terbabas ke dalam gaung setinggi kira-kira 10 meter di Kilometer (KM) 43 Lebuhraya Karak-Bukit Tinggi di sini pada Selasa.

Tersepit dalam treler muatan pasir

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Hasrul Abdul Halim, 33, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.45 pagi.

“Seramai 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama tiga buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu menggunakan peralatan hidraulik dan tali,” kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 6.44 pagi dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Sinar Harian

 

Artikel Lain

Lelaki M4ut Tergelincir & Terjatuh Gaung Sedalam 20 Meter Di Genting Highlands | KUANTAN: Seorang lelaki maut dipercayai akibat tergelincir sebelum, terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 20 meter di KM 1 jalan naik ke Genting Highlands, Bentong hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Mohd Saufi Zakaria, berkata lelaki berusia lingkungan 60-an itu dikatakan sedang melakukan pemantauan di lereng bukit bagi kerja pemasangan paip, sebelum tergelincir.

Beliau berkata, lapan anggota dan pegawai bergegas ke tempat kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada jam 2.53 petang.

“Bomba menjumpai lelaki itu kira-kira 3.30 petang, sebelum menjalankan operasi menaikan mayat itu menggunakan tali dan alat pengusung yang mengambil masa lebih sejam,” katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi selesai jam 5 petang.

Sumber: Berita Harian

 

Lori Dipandu Terbabas Dan Terbalik, Warga Emas M@ut | Seorang pemandu lori maut setelah kenderaan dipandunya terbabas dan terbalik dalam kemalangan di Kilometer 15, Jalan Kampung Budu -Tualang Padang, Benta di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 4.35 petang itu, mangsa Johari Md. Jali yang berumur 70 tahun, yang beralamat di Kampung Sementeh, Lanchang, Temerloh dekat sini disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah di kepala.

Superintenden Azli Mohd. Noor, Ketua Polis Lipis berkata, siasatan mendapati kemalangan itu berlaku disebabkan lori jenis Rigid Dumper itu hilang kawalan semasa melalui jalan yang berselekoh serta menuruni bukit kawasan tersebut.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa yang memandu dalam perjalanan dari Lanchang membawa muatan tar untuk dihantar ke Kampung Kemahang, Benta.

Beliau juga menyatakan dalam kenyataan bahawa ketika menuruni bukit berselekoh, lori dipandunya hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan terbalik. Mangsa yang tersepit dan terperangkap di bahagian kepala lori disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan akibat cedera parah di kepala.

Menurut Azli, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian mangsa ketika memandu dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Superintenden Azli berkata bedah siasat untuk mengetahui punca kematian akan dilakukan selepas keputusan ujian Covid-19 diperoleh. Kejadian ini akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berujar bahawa kemalangan ini berlaku di jalan selekoh, berturap, sistem laluan satu lorong dua hala, terdapat garisan tengah berkembar dan menuruni bukit, manakala keadaan cuaca cerah dan tidak hujan.

Sumber: Utusan Malaysia

 

Share.

Leave A Reply