Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Penganiayaan Terhadap Kucing | Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada hari ini atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap seekor kucing pada awal Jun lalu.

Lelaki Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Penganiayaan Terhadap Kucing

Tertuduh, Azizul Salahuddin,46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Adilah Mokhtar.

Mengikut pertuduhan tersebut, tertuduh secara tidak munasabah menyebabkan penderitaan yang tidak perlu terhadap haiwan dengan bertindak menyeret seekor kucing di atas jalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Attaduri Langkap, Hilir Perak sekitar jam 6.30 petang pada 3 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah akta sama dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak kurang RM 20,000 dan tidak melebihi dari RM 100,000 atau dipenjara selam tempoh tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail menawarkan jaminan sebanyak RM 8,000.

Walaubagaimanapun tertuduh yang diwakili Peguam Bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan memohon agar wang jaminan berkenaan dikurangkan atas alasan tertuduh tidak mempunyai pekerjaan tetap selain masih menanggung ibu bapanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM 3,500 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh telah ditahan polis pada 4 Jun lepas bagi membantu siasatan kes itu selepas satu video memaparkan tindakannya seolah-olah mengheret kucing di atas jalan tular di media sosial.

Dalam laporan sebelum ini, tertuduh dikatakan menangkap kucing itu menggunakan sauk untuk dibuang ke kedai berhampiran, namun kaki depan haiwan itu telah terkeluar dari jaring sauk menyebabkan ia seolah-olah diseret di atas jalan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply