Lelaki [email protected] Selepas Bergaduh Dengan Kekasih Isteri | Tragisnya kisah cinta tiga segi apabila seorang lelaki maut selepas bergaduh dengan kekasih gelap isterinya di hadapan balai polis di wilayah Nonthaburi pada malam Rabu.
Portal Thaiger melaporkan, mangsa yang berusia 41 tahun bernama Suwat membawa isterinya, Bee, 30, dan orang ketiga, Wichai Phatyen, 35, ke Balai Polis Bang Mae Nang di Nonthaburi pada petang 15 Mac untuk menyelesaikan masalah hubungan mereka.
Seorang pegawai memberikan beberapa cadangan kepada ketiga-tiga mereka untuk berdamai malangnya nasihat itu gagal menyelesaikan keadaan.
Sebaliknya, Suwat dan Wichai bertengkar di hadapan balai polis dan pergaduhan semakin teruk apabila Suwat dipukul dengan kuat oleh Wichai menyebabkan dia jatuh kemudiannya tidak sedarkan diri.
Pasukan penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan memberikan Suwat bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) selama lebih 20 minit tetapi usaha mereka gagal menyelamatkan nyawanya.
Polis melaporkan isteri Suwat, Bee sudah lama menjalin hubungan sulit dengan Wichai.
Pada malam kejadian, Suwat pergi ke rumah Wichai untuk mendesak Bee pulang ke rumah tetapi gagal mencapai kata sepakat hingga mereka memutuskan untuk pergi ke balai polis bagi menyelesaikan masalah
Ibu Wichai, Wan yang berusia 49 tahun ketika memberitahu media tempatan mendedahkan yang Bee kerap bertemu anaknya di rumah keluarga mereka.
Wan tahu Bee mempunyai suami dan seorang anak jadi cuba meyakinkan wanita berkenaan untuk memutuskan hubungan dengan Wichai beberapa kali, tetapi tidak berjaya.
Tambah Wan, Wichai juga cuba untuk menghentikan hubungan itu tetapi Bee tetap melawatnya dan tinggal bersama Wichai lebih lama.
Katanya, anak dia bukanlah seorang yang jahat. Dia seorang yang rajin dan fokus kepada kerja untuk membayar keretanya. Satu-satunya tabiat buruknya adalah minum alkohol.
Katanya lagi, dia tak tahu nak buat apa sekarang. DIa tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyelamatkannya.
Berikutan kesalahan dilakukan, Wichai didakwa mengikut Seksyen 209 Undang-undang Jenayah atas pertuduhan menyebabkan kematian orang lain secara tidak sengaja melalui keganasan fizikal.
Jika sabit kesalahan, Wichai boleh dihukum penjara tiga hingga lima tahun atas perbuatannya itu.
Sumber: Harian Metro
Artikel Lain
Ibu Maut Selepas Bergaduh Dengan Anak Autisme Yang Kemurungan
Seorang wanita dilapor meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya di kepala selepas bergaduh dengan dua anak lelakinya yang merupakan penghidap autisme dan mengalami kemurungan.
Memetik laporan The Straits Times, insiden yang menimpa wanita berusia 52 tahun itu bermula setelah anak lelaki sulungnya mengesyaki bahawa dia mempunyai hubungan sulit.
Difahamkan, pergaduhan antara mereka tercetus apabila anaknya yang berusia 21 tahun ketika itu meminta untuk melihat telefonnya.
Semasa pergaduhan pada 16 Ogos 2019, kedua-dua anak lelakinya itu telah menolaknya.
Hal itu telah menyebabkan kepalanya terhantuk ke dinding sebanyak dua kali.
Dia kemudian disahkan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala di Hospital Khoo Teck Puat (KTPH).
Dalam perbicaraan pada 26 April lalu, pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Polis (ASP) Mahathir Mohamad merupakan saksi tunggal yang dipanggil ke mahkamah semasa siasatan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa suami wanita itu, 55, adalah pemandu bas dan telah bertolak ke tempat kerja pada 4.30 pagi semasa hari kejadian.
Wanita itu merupakan penjaga utama kepada anak lelakinya yang berusia 17 tahun yang menghidap autisme.
Pada hujung minggu, dia bekerja sebagai pembantu jualan.
Anak lelaki bongsunya pula disahkan menghidap gangguan autisme ketika berusia empat tahun dan didapati kurang upaya secara lisan dan intelek.
Sementara itu, anak sulungnya telah mengesyaki bahawa wanita itu mempunyai hubungan sulit dua bulan sebelum pergaduhan tercetus.
Dakwanya, dia melihat ibunya mula tidur di ruang tamu di rumah mereka dan akan bercakap di telefon dengan percakapan yang lembut.
Pada hari kejadian, kira-kira jam 6 pagi, dia mencuri dengar perbualan ibunya dan bertanya ibunya bercakap dengan siapa sambil meminta untuk melihat telefonnya.
ASP Mahathir berkata pergaduhan tercetus dan anak sulung itu menampar dan menumbuk muka ibunya.
Semasa bergelut, dia merampas telefon dan melemparkannya ke lantai.
Ibunya pula menggigit lengannya untuk menghalangnya daripada mendapatkan telefon tersebut.
Lelaki itu juga menolak ibunya sehingga menyebabkan kepalanya terhantuk ke dinding berhampiran konsol TV mereka.
Melihat keadaan itu, anak bongsu masuk ke ruang tamu dan memukul bahu abangnya.
Pergelutan antara mereka sampai ke kemuncak apabila anak bongsu itu tertolak ibunya dan menyebabkan kepala ibunya terhantuk ke dinding untuk kali kedua.
Sejurus selepas itu, wanita tersebut rebah dan mengalami sawan serta muntah.
Susulan itu, anak sulungnya telah ditahan pada sebelah petang kerana melakukan perbuatan yang terburu-buru sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Dia sebelum itu mengaku kepada paramedik bahawa dia telah menumbuk ibunya dan menolaknya, menyebabkan kepala ibunya terhantuk ke dinding.
Turut didapati bahawa dia mengalami kemurungan yang besar yang mendorongnya melakukan tindakan sebegitu ke atas ibunya sendiri.
Dia diberi amaran bersyarat selama 24 bulan.
Dalam pada itu, adik bongsunya pula dianggap tidak layak untuk membuat pengakuan di mahkamah.
Tiada tindakan undang-undang dikenakan terhadapnya.
Sumber: Siakap Keli