KUALA PILAH – Polis menahan seorang lelaki warganegara Myanmar selepas disyaki terlibat dalam kejadian bunuh membabitkan rakan senegaranya pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, lelaki berusia 21 tahun itu yang juga merupakan sepupu kepada mangsa, ditahan pada hari sama, tidak jauh dari tempat kejadian semasa cubaan melarikan diri.

“Pihak polis menerima panggilan telefon pada jam 3 pagi daripada seorang lelaki merupakan penternak haiwan melaporkan pekerjanya, rakyat Myanmar berusia 26 tahun telah meninggal dunia di sebuah kandang ternakan di Selaru,Dangi di sini.

“Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala akibat dipukul dengan menggunakan alat tumpul,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ujarnya, pihak forensik Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan telah menjumpai sebatang kayu yang padan dengan luka kecederaan pada kepala mangsa termasuk lain-lain bukti di lokasi kejadian.

“Bertindak atas maklumat kes tersebut, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki Myanmar di tepi jalan Selaru, Dangi kurang satu jam selepas laporan diterima.

“Turut dirampas adalah beg galas yang berisi pakaian, telefon bimbit dan botol arak.

“Tangkapan telah mendapat perintah tahanan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari dan siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Amran berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan atau menghubungi talian hotline IPD Kuala Pilah 06-48429999.

Sumber: Kosmo

 

Kanak-Kanak 7 Tahun Maut Akibat Didera Dan Dipukul Abang Sepupu

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui keluarga ini selepas anak tercinta yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibatĀ didera.

Kanak-Kanak 7 Tahun Maut Akibat Didera Dan Dipukul Abang Sepupu

Memetik laporan Detik, mangsa yang dikenali dengan nama Dila dipercayai dipukul dan didera oleh dua abang sepupunya iaitu Fajar dan Galih.

Menurut sumber, kematian kanak-kanak dari Indonesia hanya terbongkar selepas tindakan dua suspek yang mahu meminjam tempat mandi jenazah daripada ketua kampung yang dikenali dengan nama Suraji.

Tindakan tersebut secara tidak langsung membuatkan Suraji curiga kerana pada hari tersebut, tiada kes kematian dilaporkan di kampung berkenaan.

Susulan daripada itu, Suraji bersama beberapa penduduk kampung yang lain telah berkunjung ke rumah suspek.

Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati Dila sudah terbaring dan tidak sedarkan diri.

Mangsa sempat dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.

Apabila ditanya mengenai keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu, salah seorang suspek memaklumkan bahawa mangsa terjatuh dari tingkat dua rumah mereka.

Menyedari ada sesuatu tidak kena, Suraji melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum semuanya terbongkar.

Rupa-rupanya Dila telah didera oleh kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 18 dan 24 tahun.

Mereka mengakui telah memukul kanak-kanak itu sampai mati.

Hasil pemeriksaan juga mendapati tubuh badan Dila dipenuhi dengan luka dan kesan lebam.

Menurut guru sekolah mangsa iaitu Rusmiyati, Dila sudah seminggu tidak hadir ke sekolah kerana dimaklumkan tidak sihat.

Namun pada pagi kejadian, Dila telah hadir ke sekolah dalam keadaan yang sangat menyayat hati di mana di mana kepalanya botak, kakinya mengalami kecederaan sehingga tidak boleh memakai kasut dan berjalan dengan sempurna.

Dila juga mengadu telah dipukul oleh abang sepupunya menggunakan kayu.

Kedua-dua suspek telah ditahan polis.

Jika sabit kesalahan, suspek utama bakal dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun manakala suspek kedua pula bakal dipenjara selama tiga tahun enam bulan.

Sumber: KMN

Share.

Leave A Reply