Lelaki Orang Asli suku kaum Temiar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan merogol tiga anak tirinya yang berusia 8, 11 dan 12 tahun ketika itu di rumah mereka sejak 2015 sehingga tahun lalu.


Tertuduh yang berusia 56 tahun dari Pos Hendrop di sini bagaimanapun terpinga-pinga dan tidak faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut dua pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram dengan seorang kanak-kanak pada 2015 yang merupakan anak tiri sulungnya berusia 12 tahun ketika kejadian.

Bagi lapan pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak tiri keduanya yang ketika itu berusia 11 tahun pada tahun sama.

Tertuduh turut didakwa atas enam lagi pertuduhan merogol anak tiri ketiganya yang ketika kejadian berusia lapan tahun pada 2016.

Susulan itu, kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kuala Betis di sini pada 2015 hingga 2021.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dilihat terpinga-pinga dan menyatakan bahawa dia tidak faham pertuduhan yang dibacakan.

Hakim kemudian menetapkan 13 Disember depan untuk sebutan semula kes bagi mendapat dan menggunakan khidmat jurubahasa Orang Asli suku kaum Temiar untuk membaca pertuduhan.
Sumber : UM

Share.

Leave A Reply