Lelaki Parah Selepas Kereta Dipandu Jatuh Tebing | Seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu selepas kereta yang dipandunya terbabas dan terjatuh dari tebing setinggi lima meter berhampiran kawasan perindustrian Kulim Hi Tech, Kulim tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 12.46 tengah malam tadi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech dengan kekuatan seramai enam anggota ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya anggota bomba di lokasi, mereka mendapati kereta terbabit terjatuh pada ketinggian lima meter di lokasi kejadian dan terdapat seorang mangsa berusia 30-an tersepit di bahagian tempat duduk pemandu.
Tambahnya, mangsa yang cedera kemudiannya berjaya dibawa keluar sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala penumpang bahagian hadapan kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Sumber: Berita Harian