Lelaki Pesakit Mental Mengaku Cedera Polis Dengan Pisau | Lelaki yang dilaporkan merupakan pesakit mental didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencederakan empat anggota polis termasuk dua pegawai dengan sebilah pisau panjang, Sabtu lalu.

Lelaki Pesakit Mental Mengaku Cedera Polis Dengan Pisau

Tertuduh yang juga penganggur, Mohamad Azizi Seman, 42, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Chong Yeong Ren, Mohd Afifi Jamaludin, Mohamad Firdaus Mohd Jamil dan Muhammad Anuar Saidi Azmi dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau panjang lebih kurang 18 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sedar di sini, kira-kira jam 9 malam, pada 12 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh didapati mengamuk di sebuah rumah selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah.

Bertindak atas maklumat itu, Inspektor Chong dan Inspektor Mohd Afifi bersama dua anggota polis, Koperal Mohamad Firdaus serta Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi ke lokasi kejadian.

Namun, tertuduh tidak memberi kerjasama kepada polis sebelum melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan pegawai serta anggota polis cedera pada bahagian kepala, belakang badan lengan dan tangan.

Kesemua mangsa dirujuk ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammad Sharil memohon tertuduh supaya dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri kerana lelaki itu adalah pesakit mental.

Muhammad Sharil tidak menawarkan sebarang jaminan sementara pihak pendakwaan menunggu laporan psikiatri dari pihak hospital.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply