Lelaki Pukul Dan Pijak Wanita Warga Emas Hingga Maut Campak Dalam Parit.

| May 4, 2020 | 0 Comments

Lelaki Pukul Dan Pijak Wanita Warga Emas Hingga Maut Campak Dalam Parit. | Seorang lelaki sanggup memukul dan memijak wanita yang juga warga emas hingga maut sebelum membuang mayatnya dalam parit dalam kejadian di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan, semalam.

Mayat wanita berusia 76 tahun itu ditemui anggota polis dalam keadaan separuh tenggelam pada 2 pagi, hari ini.

Sebelum itu, polis menerima laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah selepas keluar berseorangan dengan motosikalnya pada 10 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, penduduk kampung melihat mangsa dan suspek yang juga penduduk kampung sama bertengkar di kedai runcit di kampung berkenaan, petang semalam.

Menurutnya, penduduk kampung kemudian menemui motosikal mangsa dalam parit di belakang rumah suspek sebelum menghubungi polis, 8 malam tadi.

“Susulan itu, polis menahan suspek berusia 65 tahun di rumahnya dan lelaki itu mengaku memukul dan memijak mangsa dalam rumahnya.

“Suspek membawa mangsa dengan menggunakan kereta sorong sebelum membuang mayatnya ke dalam parit besar, kira-kira 400 meter dari rumahnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, polis menemui mangsa yang sudah meninggal dunia dalam keadaan separuh tenggelam dalam parit itu dan kematiannya disahkan pihak forensik yang hadir di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya juga percaya, berkemungkinan mangsa sudah meninggal dunia ketika dicampakkan ke dalam parit.

“Suspek dan mangsa tiada hubungan keluarga dan hanya tinggal sekampung. Pertengkaran antara mereka dipercayai disebabkan anak mangsa didakwa tidak menghormati suspek namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk proses bedah siasat dan suspek direman tujuh hari bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

 

Sumber : Metro

Tags: , , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *