Seorang lelaki berusia 38 tahun putus jari tangan kiri dan cedera parah di lutut kiri selepas ditetak menggunakan senjata tajam di hadapan sebuah rumah dalam kawasan Kampung Gong Cempedak, di sini, malam semalam.

Kejadian berlaku lebih kurang jam 8 malam itu berpunca daripada perlanggaran kecil yang berlaku antara kenderaan suspek dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Aris berkata, selepas perlanggaran itu, suspek dikatakan mengajak mangsa untuk menyelesaikan dan bersetuju membayar ganti rugi.

Menurutnya, sebaik sampai di rumah suspek, mangsa diminta menunggu di luar rumah dan lelaki itu (suspek) masuk ke dalam rumah dikatakan untuk mengambil wang.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba apabila suspek keluar rumah, dia menetak mangsa dengan senjata tajam seperti pedang samurai atau parang panjang sebelum melarikan diri dengan menggunakan Proton Wira warna biru gelap.

“Suspek juga bertindak merempuh sekatan jalan raya di hadapan Balai Polis Merchang dan memecut menghala ke Dungun pada jam 8.45 malam.

“Susulan itu, beberapa anggota bertindak mengejar dan berjaya memintas kereta suspek di belakang Sekolah Gong Balai Merchang dan melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai berhampiran.

“Bagaimanapun, usaha lelaki itu menyeberangi sungai tidak berjaya apabila polis bertindak pantas melakukan tangkapan walaupun suspek cuba melawan,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohd Zain berkata, hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 33 tahun yang bekerja sendiri mendapati positif dadah jenis methapethamine dan ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga Selasa depan.

“Kita juga menemubual beberapa saksi yang melihat kejadian ini bagi membantu siasatan dan mangsa kini berada dalam keadaan stabil serta berada di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Susulan tangkapan ke atas suspek, kita percaya berjaya menyelesaikan dua kes membabitkan Seksyen 326 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera parah dengan senjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan cubaan membunuh,” katanya.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply