Lelaki ‘Sabung Nyawa’ Selamatkan Keluarga Daripada Kebakaran

| April 14, 2021 | 0 Comments

Lelaki ‘Sabung Nyawa’ Selamatkan Keluarga Daripada Kebakaran | Seorang lelaki melecur pada bahagian lengan, bahu kanan dan belakang badan ketika ingin menyelamatkan lima ahli keluarganya daripada kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Durian Daun, pagi tadi.

Lelaki 'Sabung Nyawa' Selamatkan Keluarga Daripada Kebakaran

Masjid Tanah: Mangsa yang dikenali sebagai Sulaiman Kaus, 42, mengalami kecederaan akibat bahang api yang marak ketika ingin menyelamatkan ibu mertua, Norisah Tahir, 79, isteri Siti Faismah Basir, 42, dan tiga anak yang masing-masing berusia empat, lima dan enam tahun.

Sulaiman yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah kilang di Alor Gajah berkata, ketika kejadian yang menimpanya itu berlaku, beliau dan isteri dan anak-anaknya sedang tidur.

Katanya lagi, beliau telah dikejutkan oleh isterinya yang menyedari api marak dari anjung rumah dan ruang tamu sebelum sebelum bergegas membawa isteri, ibu mertua dan anak-anaknya keluar dari rumah ketika api sedang marak.

Jelasnya lagi, selepas menyelamatkan mereka dan menempatkan mereka di bukit di belakang kawasan rumahnya, beliau kemudiannya masuk semula ke rumah itu untuk mengambil MyKad dan dokumen penting yang lain.

“Menyedari kereta Perodua Alza masih dapat diselamatkan, saya masuk sekali lagi ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta sebelum memindahkannya ke halaman rumah.

“Saya tidak sedar bila lengan dan bahu kanan melecur, cuma selepas keadaan mulai tenang dan api berjaya dipadamkan bomba, barulah saya sedar saya cedera,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui, hari ini.

Sulaiman kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar.

Berikutan kejadian yang menimpa mereka itu, Sulaiman bercadang ingin membawa anggota keluarganya untuk tinggal di kediaman pusaka ibu bapanya di Kampung Solok Air Batu yang kira-kira dua kilometer dari Kampung Durian Daun.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah telah menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada jam 3.03 padi dan sejurus itu pihaknya menghantar satu jentera serta tiba di lokasi kejadian pada jam 3.08 pagi.

Katanya, operasi untuk memadamkan kebakaran itu turut dibantu oleh satu jentera dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah.

“Sebuah rumah terbakar hampir 90 peratus dan enam orang dari satu keluarga berjaya menyelamatkan diri dan operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada 6.49 pagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Tags: , ,

Category: KELUARGA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *