Lelaki Samun Majikannya Pada Hari Pertama Kerja

| May 19, 2020 | 0 Comments

Lelaki Samun Majikannya Pada Hari Pertama Kerja | Seorang pemilik kedai pakaian patah tulang hidung, retak tulang rahang dan kerugian RM5,000 akibat disamun pekerjanya di sebuah pusat beli-belah di Langkawi malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, suspek berusia 40-an dipercayai merancang menyamun premis menjual jeans dan barangan kulit itu pada hari pertama dia bekerja.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang juga lelaki berusia 55 tahun dikatakan didatangi suspek pada 10 pagi semalam meminta kerja.

Katanya, mangsa kemudiannya menerima lelaki berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai tanpa mengambil butiran peribadi.

“Hanya selepas sembilan jam bekerja, suspek menyamun majikannya menyebabkan mangsa patah tulang hidung dan retak tulang rahang ditumbuk.

“Suspek turut melarikan wang hasil jualan berjumlah RM5,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek dengan ketinggian kira-kira 170 sentimeter itu dilaporkan memakai pelitup muka sepanjang bekerja.

“Lokasi kejadian mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), bagaimanapun tiada saksi jelas yang melihat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Polis sedang giat memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di 04-966 6222,” katanya

Sumber : MyMetro

Tags: , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *