Lelaki Serang Dan Gigit Anjing Polis Untuk Melarikan Diri | Seorang lelaki Britain dijatuhi hukuman penjara lapan bulan kerana menggigit seekor anjing polis dan menyerang pegawai bertugas, lapor akhbar The Telegraph.

Matthew Boulter, mengaku bersalah selepas diberkas kerana menyerang tiga individu dan mendatangkan kecederaan kepada haiwan di sebuah lokasi di Grimsby.

Menurut laporan, polis diarah untuk menahan tertuduh pada Ahad lalu kerana didakwa terlibat dalam beberapa siri serangan sebelum itu.

Ketika seorang pegawai cuba menahannya, Boulter menumbuk dan menendang beberapa pagar ke arah polis tersebut yang menyebabkan dia mengalami kecederaan ringan.

Seekor anjing polis bernama PD Xander kemudian dikerah untuk membantu dalam tangkapan tersebut, namun Boulter bertindak menggigit haiwan itu pada bahagian kepala sebelum memegang dan memulas kolar lehernya.

“Menyerang kakitangan perkhidmatan kecemasan adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima, manakala anjing polis pula memberikan bantuan penting kepada kami. Ia adalah sebahagian daripada keluarga polis,” kata Detektif Sarjan Thomas Crosfill dari jabatan Polis Humberside.

Tambah Crosfill, insiden tersebut berlaku di sebuah lokasi awam dan boleh menjejaskan mangsa serta orang ramai yang lalu-lalang.

“Kami ingin memastikan bandar ini selamat kepada orang ramai untuk hidup, bekerja dan melancong,” ujarnya.

Dalam pada itu, PD Xander dilaporkan telah sembuh dan kembali bertugas pada keesokan harinya.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply