Hanya kerana selisih faham berkaitan pemanduan di jalan raya ketika hendak masuk ke simpang, seorang lelaki tergamak memukul pemandu berusia 60 tahun dengan batang golf, parang dan besi pengunci kereta di Kampung Pandan Dalam, di sini.

Lelaki berusia 60 tahun cedera dipukul dalam perselisihan faham di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur. - FOTO Ihsan PDRM.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam mengenai pergaduhan itu pada 2.24 petang Khamis lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pergaduhan membabitkan dua lelaki tempatan, iaitu mangsa berusia 60 tahun dengan suspek berusia 39 tahun.

“Kejadian ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta, dan selisih faham dengan suspek yang menunggang motosikal.

“Berlaku pergaduhan di antara mangsa dan suspek membabitkan penggunaan senjata batang golf, parang dan sebatang besi pengunci kereta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, mangsa patah tangan kanan, luka kedua-dua tangan serta pendarahan dalam otak, manakala suspek cedera di kepala.

“Mangsa dan suspek mendapat rawatan di Hospital Ampang. Punca kejadian dipercayai akibat salah faham di atas jalan raya di antara mangsa dan suspek,” katanya.

Susulan itu, katanya, suspek yang berniaga di kawasan Ampang ditahan pada 6.20 petang kelmarin dan polis merampas pakaian serta sebatang besi yang digunakan ketika kejadian.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah syabu dan benzo. Suspek mempunyai empat rekod jenayah dadah dan ditahan reman enam hari sehingga 10 November ini,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menjengah komen-komen di Facebook, pelbagai reaksi daripada netizen yang melihat kejadian itu berlaku pada mangsa tersebut.

 

Reaksi netizen yang melihat kejadian itu berlaku mengeluarkan rasa kasihan kepada mangsa tersebut. Netizen juga menyatakan rasa marah terhadap penagih tersebut yang sanggup mencederai warga tua dengan batang golf.

“Itu la bahana dadah ,adoi sedih baca, pakcik tu baya ayah kita ja smpai pendarahan otak pakcik tu”, komen pengguna Facebook melihat keadaan mangsa tersebut.

Sumber : Berita Harian

Share.

Leave A Reply