Lelaki Terjun Motosikal, Sembunyi Dalam Tandas Elak Ditangkap Polis | Ketika negara masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai kejadian aneh yang berlaku meskipun rakyat dinasihatkan agar kekal berada di rumah sekiranya mereka tiada kepentingan untuk keluar rumah.

Lelaki Terjun Motosikal, Sembunyi Dalam Tandas Elak Ditangkap Polis

Kota Bharu: Terbaru seorang lelaki cemas dikejar polis bertindak terjun daripada motosikal ditunggangnya sebelum berlari dan memasuki sebuah rumah secara rambang di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, petang semalam.

Lelaki berkenaan yang kemudian menyorok di dalam bilik air rumah berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata lima anggota daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Kota Bharu sedang menjalankan rondaan Op Samseng Jalanan, ketika terserempak dengan lelaki itu di persimpangan lampu isyarat, kira-kira jam 6.30 petang.

Beliau berkata, lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha 150ZR itu kelihatan mencurigakan sebelum anggota mengarahkannya supaya berhenti di tepi jalan.

Bagaimanapun, suspek dikatakan bertindak terjun daripada motosikalnya dan segera memasuki rumah penduduk berdekatan kawasan itu sebelum menyorok di dalam tandas.

“Suspek berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sembilan paket lutsinar mengandungi kira-kira 18 gram syabu, tujuh biji pil eramin 5 dalam satu balutan aluminium dan 214 biji pil kuda dalam satu bungkusan serta serangkai tiub minuman,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Share.

Leave A Reply