Lelaki Terpaksa Jadi Pemungut Hutang Setelah Gagal Bayar Ah Long

| July 13, 2021 | 0 Comments

Lelaki Terpaksa Jadi Pemungut Hutang Setelah Gagal Bayar Ah Long | Gara-gara gagal membayar pinjaman RM500 yang dilakukan dengan peminjam wang tidak berlesen atau ah long, seorang lelaki terpaksa menjadi pemungut hutang kepada ah long.

Lelaki Terpaksa Jadi Pemungut Hutang Setelah Gagal Bayar Ah Long

Perkara itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berusia 20-an selepas dia didapati melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat di sebuah rumah di daerah Kuala Terengganu, pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, hasil siasatan lanjut, suspek mengaku melakukan khianat itu kerana bekerja dengan ah long selepas gagal melangsaikan hutangnya sebelum ini.

Katanya, suspek menjelaskan sebelum ini dia ada membuat pinjaman wang dengan ah long tidak sampai RM500 namun disebabkan pelbagai faedah dikenakan, dia terpaksa membuat bayaran berganda daripada jumlah yang dipinjamnya.

Jelasnya, disebabkan suspek berada dalam keadaan terdesak ditambah lagi dengan wakil ah long menawarkan peluang pekerjaan sekiranya dia gagal membuat bayaran jadi tanpa berfikir panjang dia terus bersetuju.

Mendedahkan perkara itu, M Zambri berkata, dalam tempoh diberikan, suspek mengakui dia memang tidak mampu hendak menjelaskan hutang tersebut sebelum ah long mengingatkan cagaran yang dipersetujuinya sebelum ini.

Oleh kerana takut dengan ugutan yang diberikan sekiranya dia memungkiri janji, dia bersetuju untuk bekerja dengan ah long terbabit sebelum diserahkan senarai beberapa nama peminjam yang gagal menjelaskan hutang berserta alamat.

Menurut M Zambri, suspek diarahkan untuk ‘mengganggu’ mereka dengan pelbagai cara agar kehidupan peminjam tidak tenang termasuk melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat selain bertindak ganas seperti yang diarahkan.

Mengulas lanjut mengenai taktik ah long itu, beliau berkata, pihak ah long hari ini dilihat semakin licik dengan tidak melakukan ugutan kekerasan seperti yang biasa digunakan sebelum ini untuk mengaburi orang awam supaya membuat pinjaman dengan mereka.

Jelasnya, mereka menawarkan peluang pekerjaan kepada peminjam bagi memudahkan ‘urusan’ pada masa akan datang sebagai cagaran kerana tahu sukar untuk mendapatkan pekerja yang sanggup untuk memungut hutang.

Pada masa yang sama, beliau mengigatkan orang ramai agar menjaga diri serta menjauhi daripada perkara yang boleh memberi risiko kepada keselamatan seperti menjadi ahli kongsi gelap atau meminjam duit dari ah long bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekerasan jenayah.

Sumber: Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: JENAYAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *