Lelaki Warga Asing Lemas Ketika Cari Ikan Di Lombong | Seorang lelaki warga Myanmar ditemukan lemas hari ini selepas dipercayai terjatuh ketika menangkap ikan di lombong bersama rakannya di Jalan KRI 2, Taman Perindustrian KRI Rawang di sini, semalam.

Lelaki Warga Asing Lemas Ketika Cari Ikan Di Lombong

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat ( JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata Chit Win Niang, 26, ditemukan pada jam 9.37 pagi oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Selangor.

Menurutnya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.43 malam tadi dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

Seramai 12 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang terbabit dalam operasi bersama 11 anggota PPDA dari BBP Shah Alam dan BBP Klang dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) serta dua pasukan bomba sukarela (PBS).

Menurut maklumat yang diterima dari rakannya, mangsa ketika itu sedang mencari ikan bersama mereka sebelum tenggelam di dalam lombong sedalam tiga meter itu.

Beliau berkata, operasi pencarian mangsa pada malam tadi ditangguhkan dan disambung semula pada jam 8.30 pagi ini.

Norazam berkata, mayat kemudian ditemukan pada 9.37 pagi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Sumber: Metro

Share.

Leave A Reply