Lelaki warga emas dilaporkan hilang lebih 24 jam lalu selepas dipercayai menyertai aktiviti mendaki di Puncak Jelapang di sini, bersama tujuh rakan petang semalam.

Lelaki Warga Emas Hilang Ketika Mendaki

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya Sharudi Muhamad Halil berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kejadian itu pada 1.17 pagi hari ini sebelum sepasukan anggota ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Jelasnya, mangsa yang berusia 84 tahun disedari hilang selepas kumpulan itu tiba di bawah puncak pada 6.30 petang semalam.

Tambahnya, terdapat tiga laluan utama yang biasa digunakan oleh pendaki di lokasi berkenaan.

Katanya lagi, lokasi terakhir mangsa dikesan masih bersama rakannya adalah pada 5 petang ketika menuruni pucak terbabit pada ketinggian 285 meter.

Sharudi berkata, anggota melakukan operasi pencarian yang ditumpukan di lokasi laluan mangsa dipercayai hilang dengan mendapatkan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, maklumat awal mendapati mangsa adalah seorang yang aktif dalam aktiviti mendaki pada hujung minggu dan mula terbabit dalam aktiviti itu sejak berusia 50 tahun.

Sumber: Harian Metro 

Share.

Leave A Reply