Lelaki Warganegara Belarus Hina Anggota Polis Ketika Ditahan Rentas Negeri Tanpa Kebenaran.

| June 1, 2020 | 0 Comments

Lelaki Warganegara Belarus Hina Anggota Polis Ketika Ditahan Rentas Negeri Tanpa Kebenaran. | Seorang warganegara Belarus mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan merentas negeri dan bersikap kurang sopan di Mahkamah Majistret Port Dickson di sini, hari ini.

Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Majistret Siti Huzaifah Abdul Talib sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Tertuduh, Danilov Illia, 29, didakwa mengikut Peraturan 6(3) PPPPPB 2020 kerana merentas negeri tanpa kebenaran dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata tidak sopan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Sekatan Jalan Raya (SJR) Sepang-Port Dickson jam 2 petang Ahad lalu.

Danilov ketika itu berjalan kaki tanpa sebarang kebenaran merentas negeri dan alasan munasabah secara tiba-tiba memarahi anggota polis dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan bertindak agresif serta menghina dengan berkata ‘You are stupid and blind police officer’ (anda pegawai polis yang bodoh dan buta) kepada pegawai bertugas di SJR.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda RM1,000, penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, denda tidak melebihi RM100.

Tiada jaminan ditawarkan dan sebutan semula kes pada 12 Jun ini.

Sumber : BH ONLINE

Tags: , , , , , ,

Category: INFORMASI, JENAYAH, KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *