Seorang isteri maut akibat dibelasah oleh suaminya dengan tukul besi disyaki akibat cemburu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.00 pagi tadi di Kampung Besol, Bukit Besi, Dungun yang menyebabkan mangsa, 41 tahun, cedera parah di dahi dan muka.
Sebelum kejadian, mangsa baru pulang ke rumah selepas menghantar anaknya ke sekolah dan setibanya di rumah pasangan itu mula bergaduh.
Menurut sumber, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan .
Difahamkan, selepas mangsa dibunuh, suspek keluar dari rumah dan pergi ke rumah datuknya yang terletak tidak jauh dari lokasi sebelum memberitahu seorang kakaknya, dia telah membunuh isteri dengan tukul besi sambil menangis dan ketakutan.
Suspek kemudian pulang semula ke rumah sambil menangis melihat isterinya sudah tidak bernyawa terbaring di ruang tamu.
Suspek dilaporkan cuba membunuh diri kerana ketakutan dan dapat dipujuk ahli keluarga dan jiran .
Keluarga suspek kemudiannya menghubungi polis dan memujuk lelaki itu menyerah diri sebelum dibawa ke Balai Polis Bukit Besi.
Pasangan berkenaan dikatakan baru mendirikan rumah tangga, tahun lalu dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 6 bulan.
Mangsa adalah peniaga di kampung berkenaan dan mempunyai enam anak hasil perkahwinan sebelum ini.
Sumber : Buletin TV3
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Suami Pengasuh Bunuh Bayi Zara Dgn KEJAM 5 Tahun Lalu,Akhirnya Ke Tali Gantung.
Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pengunting rambut kerana membunuh seorang bayi perempuan berusia 11 bulan, lima tahun lalu.
Barisan tiga hakim yang bersidang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah, sebulat suara menolak rayuan oleh Hazmi Majid, 41, kerana hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah seperti pertuduhan.
“Kecederaan yang dilakukan ke atas bayi itu, dalam keadaan biasa adalah mencukupi untuk menyebabkan kematian.
“Kami mendapati keputusan hakim (Mahkamah Tinggi) adalah selamat, berdasarkan keseluruhan bukti. Oleh itu, rayuan ini ditolak dan sabitan dikekalkan,” kata Hakim Hanipah yang bersidang bersama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun.
Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Hazmi bersalah atas keputusan tersebut pada 20 Ogos 2021.
Hazmi, adalah suami kepada pengasuh mangsa, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara, di sebuah unit di Pangsapuri Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, pada 7 November 2018.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati.
Media sebelum ini melaporkan bayi itu meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat penderaan fizikal dan seksual oleh suami pengasuh bayi tersebut.
Ibu mangsa sebelum ini dimaklumkan bahawa bayi itu dihantar ke hospital oleh pasangan terbabit yang mendakwa kanak-kanak itu tercekik buah epal.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya dan laporan Patologi mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala dan tengkoraknya.
Terdahulu hari ini, peguam T.Vijayandran yang mewakili perayu berhujah bahawa hakim perbicaraan gagal membuat penemuan nyata, sama ada kecederaan maut yang ditemui pada mangsa itu sengaja dilakukan oleh perayu.
“Saksi pendakwaan (PW5) dan pakar patologi, Dr Emizam Mohamadon telah memberi keterangan bahawa punca kematian ialah akibat hentakan tumpul di kepala dan menyifatkan kecederaan serius dan berkemungkinan mengakibatkan kematian.
“Pihak pendakwaan tidak membuktikan mens rea (niat jahat) yang lebih tinggi bahawa perbuatan itu membawa kepada membunuh,” kata peguam itu.
Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd Khaja dalam hujahnya berkata hakim perbicaraan telah membuat keputusan bersalah selepas menilai semua keterangan saksi pendakwaan terhadap pembelaan.
“Pakar patologi memberi keterangan bahawa ia kecederaan yang baharu dan berlaku dalam tempoh tiga hari. Beliau juga menjelaskan bahawa kecederaan itu bukan disebabkan oleh diri sendiri dan tidak mungkin berlaku akibat terjatuh.
“Kami juga mengemukakan bahawa keterangan pakar patologi jelas menunjukkan bahawa kecederaan yang dilakukan terhadap bayi yang menjadi mangsa itu sangat serius dan cukup dalam keadaan biasa untuk menyebabkan kematian.
“Hakim Mahkamah Tinggi tidak membuat sebarang kesilapan dalam fakta dan undang-undang dalam mendapati perayu bersalah,” kata Parvin Hameedah, yang dibantu oleh Khairul Aisamuddin Abdul Rahman.
Lima tahun lalu dilaporkan Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan meninggal dunia akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan suami kepada pengasuhnya sendiri dalam kejadian di Bandar Baru Bangi.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata mangsa meninggal dunia pada 10.30 pagi semalam, selepas dua hari dilaporkan kritikal di Hospital Serdang dekat sini.
“Berdasarkan kenyataan ibu mangsa, semasa dihantar ke rumah pengasuh pada waktu pagi, mangsa dalam keadaan baik. Namun, mangsa dikatakan mengalami sesak nafas pada sebelah petang dan dikejarkan ke Klinik Bandar Baru Bangi, sebelum dirujuk ke Hospital Serdang.
“Pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati ada kesan koyakan baru pada selaput dara mangsa, dan dubur mangsa juga mengalami koyakan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Ahmad Dzaffir berkata hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’, dengan tempurung kepala bayi pecah.
“Selain itu, terdapat kesan lebam pada bahagian atas kepala kiri dan kanan mangsa,” katanya.
Beliau berkata ibu bapa mangsa yang menetap di kawasan perumahan sama dengan pengasuhnya itu menghantar bayi mereka ke rumah berkenaan sejak September lepas.
Sehubungan itu, Ahmad Dzaffir berkata pihaknya menahan pengasuh serta suaminya yang bekerja sebagai penggunting rambut.
“Kita menahan pengasuh berusia 28 tahun bersama suaminya, 36 tahun, semalam. Ujian air kencing mendapati lelaki itu positif methaphetamine,” katanya.
Beliau berkata lelaki itu ditahan reman lima hari sehingga Selasa depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber : KMN