SIBU – Seorang bayi lelaki berumur dua tahun adalah antara lima orang yang maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Jalan Bintulu-Sibu, kelmarin.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata kejadian dilaporkan kira-kira pukul 10.09 pagi melibatkan kereta Perodua Myvi dan Kia Sportage.
Katanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau yang dikerahkan ke lokasi mengesahkan Perodua Myvi terbabit dinaiki lima orang manakala Kia Sportage juga membawa lima orang.
“Bagi penumpang Perodua Myvi, seorang mangsa wanita berusia 24 tahun tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang bayi lelaki disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Selangau,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, tiga lagi penumpang Perodua Myvi iaitu seorang lelaki berusia 24 tahun, seorang remaja dan kanak-kanak lelaki yang maklumatnya tidak dapat diperolehi cedera dan dihantar ke Klinik Kesihatan Selangau oleh orang awam.
Bagi penumpang Kia Sportage pula, beliau berkata tiga lelaki berusia 21 hingga 61 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik.
Sementara, katanya seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki yang maklumatnya tidak dapat diperolehi cedera parah dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Selangau menggunakan ambulans.
Beliau berkata pasukan bomba kemudian membuat pembersihan di lokasi kemalangan sebelum bertolak balik ke balai.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Tiga Orang M4ut, Pemandu Mabuk Rempuh Enam Motosikal Bawah Jambatan
PETALING JAYA – Tiga penunggang motosikal maut, manakala tiga lagi cedera selepas dirempuh pemandu mabuk di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan kemalangan tersebut pada jam 6.50 pagi.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 5.59 pagi, seorang lelaki berusia 26 tahun memandu kereta jenis Honda City Hatchback dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Cyberjaya.
“Setibanya di lokasi, kereta tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar enam penunggang motosikal berusia 19 hingga 37 yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Mohamad Fakhrudin berkata, tiga penunggang motosikal disahkan maut di lokasi, manakala seorang parah dan dua lagi cedera menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Hasil ujian ke atas pemandu itu mendapati kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan, lelaki tersebut ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian, mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : KMN