Lima Termasuk Dua Kanak-Kanak Rentung Dalam Nahas Kebakaran Bas Pelancong Dua Tingkat

| April 13, 2021 | 0 Comments

Lima Termasuk Dua Kanak-Kanak Rentung Dalam Nahas Kebakaran Bas Pelancong Dua Tingkat | Berlaku satu kemalangan melibatkan sebuah bas pelancong dipercayai terbakar pada 12:30 pagi (waktu tempatan) selepas membawa sekurang-kurangnya 33 penumpang dari Wilayah Bung Kan, Thailand, baru-baru ini.

Lima Termasuk Dua Kanak-Kanak Rentung Dalam Nahas Kebakaran Bas Pelancong Dua Tingkat

Bas pelancong yang mempunyai dua tingkat itu dikatakan sedang menuju ke Bangkok sebelum tayar bas tersebut  tiba-tiba dilaporkan meletup serta menyebabkan tayar tersebut terbakar sejurus tiba di Jalan Mittraphap di sebuah daerah Ban Haet iaitu berdekatan wilayah Khon Kaen, timur laut Thailand.

Bangkok Post dalam laporan mereka menyatakan bahawa bas tersebut telah membuat perhentian di Khon Kaen dan kemudian mereka meneruskan perjalanan tidak lama selepas tengah malam.  Semasa mereka tiba di kawasan kampung Nong Kham, dilaporkan tayar bas pelancong tersebut pecah dan terbakar sehingga menyebabkan api terus merebak hingga ke ruangan enjin dan seluruh badan bas.

Insiden kebakaran tersebut telah menyebabkan lima kematian termasuk dua orang kanak-kanak yang dilaporkan rentung di tempat kejadian manakala 12 mangsa yang lain turut cedera parah selepas mereka dikatakan mengalami lecur yang serius. Sekurang-kurangnya 16 mangsa lain dilaporkan selamat selepas mereka berjaya menyelamatkan diri sejurus bas tersebut berhenti.

Jurucakap pasukan polis memberitahu bahawa unit penyelamat serta jentera bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk tiba ke lokasi kejadian bagi memadamkan kebakaran dan bas tersebut dilaporkan rosak teruk akibat kebakaran.

Media tempatan turut melaporkan mangsa-mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital Sirindhon serta hospital lain berdekatan wilayah Khon Kaen bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Polis melaporkan kepada media tempatan bahawa kemalangan tersebut masih dalam siasatan polis bagi mengetahui punca sebenar kemalangan serta bas tersebut dilaporkan telah dibawa ke balai polis berdekatan wilayah tersebut.

Sumber: Bangkok Post

Tags: , , , , , , ,

Category: DUNIA, KEMALANGAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *