Seorang wanita tersepit manakala dua anaknya cedera termasuk bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari lori yang mereka naiki selepas terbabit kemalangan di Jalan Kayu Ara Pasong di sini pada Isnin.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nazri Ahmad Shahidon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 3.21 petang.
Susulan itu katanya, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu melibatkan sebuah lori jenis Daihatsu Delta yang terbabas sebelum masuk ke dalam parit. Seorang wanita berusia 30-an tersepit di tempat duduk penumpang.


“Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun cedera. Seorang lagi yang turut cedera adalah bayi berusia lima bulan yang tercampak keluar dari lori, manakala pemandu berusia 30-an dipercayai bapa mereka terselamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihak bomba mengeluarkan wanita yang tersepit menggunakan peralatan khas ‘rescue tools’ sebelum menghantar mangsa ke hospital menaiki EMRS untuk rawatan lanjut.
Tambah Mohd Nazri, operasi tersebut selesai pada jam 3.55 petang.
Sumber : SH
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Kereta Rempuh Treler Muatan Serbuk Plastik, Lelaki Cedera Tersepit
BIDOR: Seorang lelaki cedera tersepit setelah kereta jenis Honda City yang dipandunya dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan serbuk plastik di hentian rehat dan rawat (R&R) Ladang Bikam, arah selatan di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.37 pagi.
Katanya lagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bidor kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda City melanggar belakang treler yang diparkir di bahu jalan menyebabkan seorang mangsa iaitu pemandu kereta tersebut tersepit dan cedera.
“Manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Anggota kemudiannya menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan menyerahkan mangsa kepada pihak ambulans bagi rawatan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
Katanya lagi, operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Nasir Ibrahim itu tamat pada jam 8.14 pagi.
Sumber: KMN