Mahkamah Benarkan Pasport Zahid Hamidi Dikembalikan Sementara Untuk Jalani Rawatan Di Jerman

| October 10, 2021 | 0 Comments

Mahkamah Benarkan Pasport Zahid Hamidi Dikembalikan Sementara Untuk Jalani Rawatan Di Jerman | Mahkamah Tinggi di Shah Alam membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menghadapi 40 pertuduhan menerima rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkan beliau menerima rawatan di Munich, Jerman.

Mahkamah Benarkan Pasport Zahid Hamidi Dikembalikan Sementara Untuk Jalani Rawatan Di Jerman

Permohonan itu dibuat pagi ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa.

Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu memaklumkan permohonan tersebut adalah perkara sama yang dibuat anak guamnya yang menderita sakit belakang serta leher dan perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka Jerman, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

“Kita memohon pelepasan sementara pasportnya bagi mendapatkan rawatan di Jerman untuk kecederaan, sama seperti permohonannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.. yang kat sini dah bagi,” katanya ketika ditemui media di Shah Alam hari ini.

Ahmad Zaidi berkata pelepasan sementara pasport itu tidak akan mengganggu tarikh perbicaraan Ahmad Zahid yang ditetapkan pada 22 Okt depan.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Pada 7 Okt lepas, media melaporkan Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah, memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya diserahkan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya yang menderita sakit belakang dan leher perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

Hamidi memaklumkan Ahmad Zahid memohon pasportnya diserahkan pada 26 Okt ini dan akan memulangkanya pada 21 November depan.

Sumber : Malaysia Kini

Tags: , ,

Category: POLITIK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *