Mangsa Rogol Berusia 15 Tahun Dikenakan Tuduhan Membunuh. | PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) “terkejut” berikutan seorang remaja perempuan mangsa rogol berusia 15 tahun dikenakan tuduhan membunuh bayi lelakinya yang baharu lahir.

Mangsa Rogol Berusia 15 Tahun Dikenakan Tuduhan Membunuh.

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, remaja itu menjadi mangsa jenayah sembilan bulan lalu dan “sekali lagi menjadi mangsa ketidakadilan”.

“Selain berdepan trauma akibat dirogol, dia terpaksa menanggung kesusahan mengandung, selain terpaksa pula berdepan tanggapan negatif masyarakat, justeru menambah risiko menghidap penyakit mental dan mendorong dirinya melakukan tindakan tidak wajar seperti membunuh bayi,” katanya dalam kenyataan.

Koh berkata, sekiranya remaja itu mengalami tekanan susulan kandungan yang tidak diingini, dia berdepan risiko kemurungan selepas bersalin yang cukup tinggi.

“Mangsa keganasan seksual mungkin menghadapi kesan mental, tingkah laku dan sosial.

“Kanak-kanak perempuan dan wanita, yang merupakan sebahagian besar mangsa, menanggung lebih banyak beban akibat kesan reproduktif, selain trauma dan risiko mendapat jangkitan seksual,” katanya.

Katanya, mangsa juga mungkin mula menunjukkan tingkah laku berisiko tinggi seperti kecenderungan membunuh diri sehinggalah kepada pembunuhan bayi.

Semalam, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dinafikan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Kemaman selepas dituduh membunuh bayinya yang baharu lahir.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibacakan di hadapan majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Peguam tertuduh, Nurainie Haziqah Shafii, mengesahkan kepada FMT permohonan ikat jamin telah diserahkan, namun ditolak mahkamah.

Nurainie berkata, pihaknya akan membuat keputusan nanti sama ada merayu terhadap penolakan ikat jaminan berkenaan. Pengurusan kes dijadual didengar pada 16 Mac.

Sumber: FMT

Share.

Leave A Reply