Mansuh STPM? Ini Respon Tegas Menteri Pendidikan | Cadangan memansuhkan pendidikan tingkatan enam dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah tidak wajar dan tiada keperluan ketika ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peperiksaan STPM yang ditawarkan Kementerian Pendidikan (KPM) adalah selaras dengan Akta Pendidikan 1996 dan mesti diteruskan.
“Kewujudannya bertujuan memastikan murid peringkat menengah atas mendapat kualiti pendidikan setanding piawaian antarabangsa kerana STPM diiktiraf Cambridge Assessment International Education.
“Semua universiti awam (UA) di negara kita mengiktiraf kelulusan ini, malah lebih 2,000 universiti seluruh dunia turut mengiktiraf sijil STPM.
“Jadi lulusan tingkatan enam ini boleh melanjutkan pelajaran ke mana-mana sahaja dalam negara, luar negara, Amerika Syarikat, semua negara Komanwel dan negara Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Negara, di sini hari ini.
Terdahulu, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai mencadangkan kerajaan agar memansuhkan STPM dan menggantikannya dengan program matrikulasi.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, pendidikan tingkatan enam mempunyai sasaran dan matlamat tersendiri berbanding program matrikulasi dan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Malaysia.
Sumber : Kosmo
Baca juga artikel menarik ini juga :
‘Kes Buli Dibangkitkan PM Sudah Diambil Tindakan’-Menteri Pendidikan | Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan perlu berhubung kes buli membabitkan seorang pelajar sekolah seperti dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata kes itu sudah berada dalam pemerhatian kementerian, malah segala tindakan perlu sudah dilakukan.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh mendedahkan secara terperinci apa bentuk tindakan yang sudah diambil terhadap isu itu.
Jelasnya dalam satu kenyataan, kita tidak boleh dedahkan kerana soal keselamatan dan menghormati permintaan keluarga.
Beliau berkata, sudah menjadi keutamaan KPM selama ini iaitu melindungi pelajar sekolah daripada dibuli.
Sebelum ini, Perdana Menteri meminta KPM menyiasat segera berkenaan isu buli dihadapi pelajar berkenaan.
Ini susulan satu gambar surat luahan pelajar dibuli diterima oleh Anwar yang mana pelajar itu meminta perkara berkenaan diberi perhatian.
Dalam surat itu, pelajar berkenaan menyatakan dia dibuli oleh beberapa pelajar lain, namun mendakwa gurunya tidak mengenakan sebarang tindakan, malah dilihat bersikap rasis.
Justeru, pelajar itu memohon kepada Anwar untuk memastikan perkara terbabit tidak berlaku lagi.
Sumber: Berita Harian