Masih Ada Yang Tidak Faham Bahasa. Ini Tindakan Polis Selangor Selepas Ini.

| March 19, 2020 | 0 Comments

Masih Ada Yang Tidak Faham Bahasa. Ini Tindakan Polis Selangor Selepas Ini. | Polis Selangor tidak akan berkompromi terhadap orang ramai yang masih berdegil dan tidak mematuhi arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan bermula semalam hingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan koronavirus (Covid-19).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pihaknya akan mengambil tindakan yang tegas sekiranya orang ramai tidak mengikut peraturan yang ditetapkan mengikut undang-undang termaktub ekoran situasi itu perlu diberi perhatian bagi mengelakkan rebakan wabak berkenaan lebih serius.

Katanya, dalam operasi semalam, didapati masih ramai yang tidak ambil endah atau dalam bahasa mudah ‘tidak faham bahasa’ berikutan masih ingkar perintah berkenaan yang telah dikuatkuasakan semalam.

“Ada yang masih makan dan minum di kedai, menghadiri mesyuarat di sebuah kuil, memancing ikan dan solat berjemaah di masjid. Kita jalankan operasi bagi memberi kesedaran serta nasihat kepada masyarakat mengapa mereka perlu mengikuti arahan ditetapkan kerajaan.

“Lagipun perkara ini perlu diberi perhatian yang amat penting dalam usaha membendung wabak serius yang melanda negara kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas taklimat ops Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Fadzil berkata, pihaknya akan meneruskan operasi dari semasa ke semasa bagi menyedarkan masyarakat bahawa perkara berkenaan amat perlu dititikberatkan.

“Jika ada yang masih berdegil dan ingkar tindakan tegas mengikut undang-undang akan dikenakan terhadap pihak yang terlibat.

“Antara tindakan yang akan dikenakan terhadap mereka termasuk di bawah Akta Polis, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit. Bagi golongan remaja atau kanak-kanak masih di bawah pengawasan ibu bapa, jika mereka tidak ikut peraturan, kita terus berjumpa ibu bapa mereka untuk tindakan susulan,” katanya.

Sementara itu Sinar Harian juga sempat melakukan tinjauan di beberapa kawasan sekitar Klang termasuk di Stesen bas Klang, Klang Sentral, Kapar dan Meru.

Ketika tinjauan di Klang Sentral bersama beberapa pegawai dan anggota polis kontinjen Selangor, dilihat masih terdapat segelintir individu sambil lewa bermain dam di kawasan menunggu bas dan tidak memakai topeng muka.

Seorang warga emas, Abdul Aziz, 60-an berkata, dia ke tempat itu untuk bertemu rakannya.

Ketika ditanya mengenai pemahaman beliau berhubung situasi negara yang mengehadkan pergerakan ekoran wabak Covid-19, dia hanya mengganguk kepala tanda tahu.

Katanya, dia hanya menunggu bas dan akan segera pulang ke rumah selepas pertemuan itu.

Tinjauan di sebuah stesen bas di Klang pula, seorang wanita dikenali sebagai Dewi, 20-an yang bekerja di sebuah kedai makan berkata, dia ke stesen bas berkenaan untuk menunggu rakannya.

Apabila didekati, dia yang memakai topeng dan menutup sebahagian mukanya seperti cuba mahu melarikan diri, namun ketika ditanya sama ada dia mengetahui mengenai perintah kerajaan itu, dia mendakwa tahu mengenai atahan tersebut,

Dia kemudian dinasihati oleh polis supaya segera beredar dari tempat awam berkenaan.

Sumber : Sinar Harian

Tags: , , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *