Mayat Bayi Dalam Bagasi Terapung Di Laut Gemparkan Penduduk Tawau. | TAWAU: Mayat bayi perempuan yang dipercayai baharu dilahirkan ditemukan dalam sebuah bagasi yang terapung di tepi laut Tanjung Batu Logpond semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.43 petang itu, mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan oleh orang awam yang kebetulan berada di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati saksi yang berjalan bersama tunangnya ternampak sebuah bagasi berwarna merah jambu terapung di laut berhampiran jeti berkenaan.

Apabila mereka membuka bagasi itu, terdapat bayi dalam keadaan masih bertali pusat yang tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia.

Pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian telah membawa mayat bayi itu ke hospital daerah untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan awal doktor bertugas mengesahkan bayi perempuan itu seberat kira-kira satu kilogram dan panjang kira-kira 36 sentimeter (cm).

“Turut ditemukan dalam bagasi itu seketul batu seberat 1.24 kilogram serta lebar 12 cm yang dibalut bersama mayat bayi dengan menggunakan sehelai kain batik. Batu itu dipercayai digunakan bagi membolehkan bagasi tersebut tenggelam ke dasar laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih kepada umum. Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-752222,” katanya.

Sumber : UM

Share.

Leave A Reply