Mayat Zugani Yasin yang dihanyutkan arus ketika memukat ikan bersama 15 rakan di Pantai Kuala Baru, Mangkuk, di sini, semalam ditemukan tengah malam tadi.
Mayat Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh itu ditemukan pada jam 12.22 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata mangsa ditemui kira-kira 100 meter dari tempat dilaporkan tenggelam.
Jelasnya, mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan Skuad Prihatin Terengganu dan masyarakat setempat.