Mayat Hampir Reput Ditemui Dalam Guni | Polis menemui petunjuk baharu berhubung pe­nemuan mayat dalam guni dipercayai dilakukan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic berwarna perak.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, perkembangan terbaharu itu diperoleh daripada seorang wanita yang melihat kereta berkenaan di lokasi keja­dian pada pukul 7 malam, 8 ­Januari lalu.

Menurut beliau, saksi itu memaklumkan dia ternampak lelaki tersebut menarik satu bungkusan berwarna putih ke tepi jalan.

Beliau berkata, identiti suspek masih belum dikenal pasti kerana memakai topi, manakala plat kenderaan itu turut ditanggalkan.

Beliau berkata ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Balai Polis Kapar semalam bahawa satu pasukan khas ditubuhkan bagi mengesan pemilik kereta untuk membantu siasatan.

Kosmo! pada 13 Januari lalu melaporkan misteri bau busuk daripada sebuah guni berwarna putih di tepi Jalan Persiaran Aman Perdana 1, di sini me­rungkai kepada penemuan mayat dipercayai lelaki hampir reput pada pukul 6.10 petang, 11 Januari lalu.

Mengulas lanjut, Vijaya memberitahu, identiti mangsa dikenal pasti sebagai lelaki warga Bangladesh berusia dalam lingku­ngan 30-an dan bekerja di sebuah kilang berdekatan lokasi keja­dian.

Perkara itu disahkan rakan si mati menerusi proses pengecaman selepas melihat gelang ta­ngan pada mayat tersebut.

bzeliau mengujar bahawa mangsa dikatakan hilang sejak 8 Januari lalu dan polis telah meminta kerjasama untuk mengesan keluarganya bagi ujian asid deoksiribonukleik.

Tambah beliau, siasatan menyeluruh berhubung kes penemuan mayat lelaki itu sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan You Swee Leong di talian 012-4071452 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara di 03-32912222.

Sumber: Kosmo

 

Artikel Lain

Mayat Seorang Lelaki Yang Dikerat Enam Ditemui Dalam Bagasi

Mayat dipotong kepada enam bahagian dan disumbatkan ke dalam bagasi ditemui di tepi Lebuhraya Utara-Selatan Plus berhampiran susur Rawang Selatan arah utara di sini, 2 petang, hari ini.

Menurut sumber, ketika ditemui, bahagian badan mangsa didapati berada di atas rumput berhampiran beg berkenaan.

“Bagaimanapun identiti mangsa masih gagal dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri ditemui pada mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, setakat ini polis mengesyaki mangsa adalah lelaki warga asing berdasarkan siasatan awal dilakukan.

“Susulan penemuan mayat itu, sepasukan anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan mayat berkenaan.

Sumber : Harian Metro

 

Guna Anjing Pengesan K9, Mayat Lelaki Dikhuatiri Lemas Ditemui Terapung

Pencarian seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, di sini pada Sabtu berakhir apabila ditemukan pada Isnin.

Mayat mangsa, Faizal Akmal Fikri Mohd Fauzi, 20, dijumpai terapung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pada jam 10.44 pagi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani memberitahu, mangsa ditemui pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi kejadian.

Unit Anjing Pengesan (K9) antara yang terlibat dalam operasi SAR lelaki yang dikhuatiri lemas pada Sabtu lalu dan ditemukan pada Isnin. - Foto ihsan JBPM Pahang

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga (Isnin) melibatkan tiga anggota dan dua ekor anjing dari Unit K9, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

“Operasi turut mendapat bantuan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).

“Operasi bermula jam 8.30 Isnin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada Sabtu, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama lima rakannya di lokasi kejadian.

Sumber : KMN

Share.

Leave A Reply