Mayat Hero Abdul Bari Akhirnya Ditemui 2.5KM Dari Lokasi . AL FATIHAH. | Mayat hero yang menyelamatkan lima sekeluarga akhirnya ditemui 2.5km dari lokasi mangsa lemas. Semoga syurga tempatmu. InsyaAllah. Baca selanjutnya. AL FATIHAH.
ARWAH ABDUL BARI YANG LEMAS DITEMUI PASUKAN PENYELAMAT
ABDUL Bari Asyraf Mohd, 31, yang hilang selepas membantu menyelamatkan lima sekeluarga dalam insiden pacuan empat roda terjunam ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan, Kuala Terengganu, kelmarin, ditemui lemas, pagi ini.
Mayat mangsa ditemui di kawasan kuala sungai oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan orang awam jam 7.23 pagi ini, pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung dan dinaikkan sebelum dibuat pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
“Mayat diserahkan kepada polis jam 7.50 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf yang sedang memancing terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf dikatakan mengalami kejang otot sebelum kelibatnya hilang di permukaan air. (Sumber: Harian Metro)
ANJING PENGESAN DIGUNAKAN
JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu akan menggunakan khidmat anjing pengesan bagi membantu mengesan mangsa lemas, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, pagi ini.
Pengarah JBPM Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata, dua ekor anjing pengesan dijangka tiba dari JBPM Putrajaya, hari ini.
“Anjing itu akan mengesan mangsa dari atas bot,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.
Beliau berkata, selain khidmat anjing pengesan, pihaknya akan meneruskan dua kaedah digunakan sebelum ini iaitu pencari secara selaman di dasar sungai dan pemantauan pada permukaan air.
“Pencarian di dasar pada malam ini dilakukan menggunakan peralatan khas iaitu ROV MKII Bentos.
“Sekiranya gagal menemui mangsa, operasi akan dihentikan pada 1 pagi ini dan disambung semula 8 pagi nanti,” katanya.
Katanya, radius pencarian hari ini dijangka diperluaskan sehingga lima kilometer menghala ke muara Sungai Terengganu.
AYAH HARAP JENAZAH DITEMUI
“KALAU ditakdirkan dia mati, biarlah kematiannya berkubur,” kata Mohd Mustafa, 66, bapa kepada Abdul Bari Asyraf, 31, yang dikhuatiri lemas ketika menyelamatkan lima sekeluarga selepas kenderaan mereka meluncur dan terjunam ke dalam sungai di Pulau Warisan di Kuala Terengganu, malam tadi.
Justeru, Mohd dan keluarga tidak putus mendoakan Abdul Bari Asyraf ditemui.
Mohd berkata, dia reda dengan kejadian menimpa anaknya biarpun tragedi menyayat hati itu meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarganya.
“Dalam keluarga saya, hanya ada dua anak lelaki, manakala enam lagi anak perempuan. Sudah tentu kehilangannya sangat dirasai, apatah lagi pemergiannya berlaku secara mengejut.
“Namun saya berbangga kerana kejadian menimpanya berlaku kerana niat murninya mahu menyelamatkan nyawa orang lain dan saya tenang dengan apa yang berlaku.
“Tak guna kita menangis meraung kerana apa yang berlaku adalah ketentuan Illahi,” katanya sayu ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Mohd berkata, Abdul Bari Asyraf yang bekerja sebagai pengimpal di bengkel di Kampung Merbau Patah, Jalan Kuala Berang, di Kuala Terengganu, adalah anak yang baik dan ramah dalam kalangan keluarga serta sangat disenangi rakannya.
“Dia memang minat memancing. Malah pada hari kejadian (semalam), dia baru balik daripada memancing di Kampung Seberang Takir.
“Dia keluar semula selepas solat Asar apabila rakannya mengajak dia memancing di Pulau Warisan dan ketika itu saya tiada di rumah kerana menziarah orang meninggal di Kampung Pasir Panjang,” katanya.
Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Jenagor, Hulu Terengganu itu berkata, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan atau petanda pelik sebelum kejadian.
Sementara itu, ibu mangsa, Masitah Awang, 60, berkata, Abdul Bari keluar rumah selepas waktu Asar untuk memancing bersama rakan baiknya.
“Dia memang minat memancing dan pagi semalam awal-awal lagi dia dah keluar memancing bersama rakannya. Selepas makan dan solat Asar, dia keluar semula selepas diajak rakan memancing di Pulau Warisan.
“Tak sangka tragedi ini menimpa dan saya hanya mengetahui kejadian selepas menerima panggilan daripada polis pada 10 malam,” katanya.
Dalam kejadian itu, Abdul Bari Asyraf yang ketika itu sedang memancing, terjun ke sungai bagi menyelamatkan lima mangsa yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang meluncur sebelum terjunam ke sungai.
Bagaimanapun, Abdul Bari Asyraf yang dikatakan mengalami kejangan otot menyebabkan dia gagal mengawal keadaan sebelum kelibatnya hilang di permukaan air.
Dalam kejadian semalam, usaha menyelamat lima mangsa dalam kenderaan pacuan empat roda terbabit turut dilakukan lima lelaki lain yang berada di lokasi kejadian dan semua mereka selamat berenang ke tebing.
Mangsa di dalam kenderaan itu, Suryati Rusly, 37; Nordiana Alwani Jaafar, 33; Asmaa Rusly, 23; Syafawani Jaafar, 11; dan Iman Nur Hana Luthfia Mohd Amiruddin berusia tiga tahun berjaya diselamatkan dan kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). (Sumber: Harian Metro)