Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui terbaring atas katil | Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa bunuh telah ditemui di sebuah unit apartment di Jalan Pandan Indah 29, Taman Pandan Indah, Ampang, semalam.

Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh ditemui terbaring atas katil

Kejadian yang berlaku pada jam 2 petang itu disedari oleh salah seorang anggota keluarganya yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat kediaman sebelum membuat laporan polis.

Susulan itu, sepasukan anggota polis kemudiannya menyusul ke kediaman mangsa dan mangsa yang berusia 30 tahun itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian. Pihak polis juga menemui mayat mangsa dalam  keadaan terlentang di atas katil bersama kesan cedera di dada di sebuah bilik disitu, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ibu mangsa dimaklumkan oleh majikan mangsa sendiri bahawa anaknya tidak hadir bekerja semalam. Ekoran itu, salah seorang anggota keluarganya pulang kerumah dan menemui mangsa terbaring di atas katil dalam salah sebuah bilik.

“Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 10 hingga 11 pagi ketika semua anggota keluarganya tiada di rumah dan mangsa dikatakan kali terakhir dilihat berada di rumah bersama adiknya,” katanya.

Jelasnya, sepasukan anggota daripada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut hadir ke lokasi bagi membantu mereka menjalankan siasatan lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.

Beliau memberi kenyataan bahawa pemeriksaan pada mayat mangsa berpunca daripada objek tajam ekoran kesan kecederaan yang ditemui di bahagian dada mangsa.

“Mayat dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk proses bedah siasat esok (hari ini) bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Siasatan lanjut akan dilakukan terhadap mayat mangsa dan motif kejadian masih belum dapat dikenal pasti,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah beliau lagi, orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk memberikan keterangan lebih lanjut di Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya.

Sumber : Berita Harian

 

Share.

Leave A Reply