Mayat Lelaki Ditemui Di Depan Kedai Makan, Dipercayai Mati Ditetak Dengan Parang | Seorang lelaki ditemui maut dipercayai ditetak di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan pada awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 5.56 pagi mengenai mangsa yang ditemui oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian.

“Mangsa merupakan lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 tahun dan beralamat di Taman Bukit Serdang.

“Siasatan mendapati mangsa telah dibunuh dipercayai menggunakan senjata tajam seperti parang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, pemeriksaan dijalankan mendapati mangsa mengalami kesan tetakan pada bahagian muka, leher dan tangan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan dan menangkap kesemua suspek yang terlibat serta dipercayai masih bebas,” katanya.

Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply