MUAR – Mayat seorang lelaki ditemui disyaki dibunuh sebelum dibuang di tempat pembuangan sampah di tepi jalan Felda Maokil-Bukit Kepong, Lenga, di sini, 2 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar telah hadir ke tempat kejadian.
“Hasil siasatan awal mendapati mayat dalam keadaan terlentang serta tidak berpakaian hanya berseluar dalam dan lokasi penemuan mayat ini merupakan tempat pembuangan sampah berdasarkan terdapat longgokan sampah-sampah di kawasan tersebut.
“Setakat ini, pihak polis masih lagi menyiasat keberadaan sebenar mayat samada ianya merupakan tempat kejadian kematian berlaku atau merupakan tempat kejadian kedua (dibuang / diletakkan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan fizikal ke atas mayat oleh Pasukan Forensik Zon Utara dan Pasukan Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar mendapati keadaan mayat telah mereput dan tiada sebarang identiti mangsa diperolehi.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah kecederaan kepala akibat trauma benda tumpul dan dipercayai adanya unsur jenayah, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman mati,” ujarnya.
Polis Daerah Muar memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini untuk tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Muar untuk membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Zakini Ab Latif di talian 013-2338184.
Sumber : Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Misteri Bau Busuk Terbongkar, Mayat Lelaki Dijumpai Di Aras Bawah Parkir Hotel
Bau busuk dari bahagian parkir aras bawah sebuah hotel di sini rupanya bau mayat seorang lelaki.
Mayat itu ditemukan seorang kakitangan hotel berusia 40-an kira-kira jam 9 pagi kelmarin ketika dia membuat kerja pemantauan sebelum proses mengepam air dibuat berikutan aras itu digenangi air sedalam 0.4 meter akibat hujan.
Dia yang enggan dikenali berkata, bau busuk sudah kerap dihidu memandangkan hotel terbabit sudah tidak beroperasi sejak tiga tahun lalu dan kini dalam proses membuka semula premis berkenaan.
“Ketika sedang membuat pemantauan, saya terhidu bau busuk dari aras bawah dan menyangkakan ia bau bangkai haiwan kerana banyak yang mati kerana hotel ini sudah lama tidak beroperasi.
“Bagaimanapun saya cuba mencari arah bau busuk terbabit dan ternampak mayat seorang lelaki berpakaian lengkap di satu penjuru sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Saksi berkata, walaupun hotel itu tidak beroperasi, pemantauan tetap dijalankan termasuk kerja mengepam air di aras bawah yang dilakukan sebulan sekali.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mayat dibawa menggunakan kenderaan polis jam 6.20 petang untuk proses bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Operasi mengeluarkan mayat itu turut dibantu 10 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu yang menyediakan dua pam.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi untuk menyedut keluar air dari aras bawah itu.
“Kerja mengepam keluar air menggunakan dua pam dan operasi berjalan selama tiga jam sebelum air sedikit surut dan kerja mengangkat mayat dibuat pihak polis,” katanya.
Sumber : KMN