Mayat Seorang Lelaki Ditemui Dalam Tali Air. | SEBERANG PERAI – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan kelaran pada leher di dalam tali air di Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas di sini hari ini.

Mayat mangsa, Muhammad Amirul Asyraf Abdul Jaafar, 32, ditemui berdekatan sebuah motosikal dalam keadaan masih mengenakan topi keledar kira-kira pukul 8.15 pagi oleh orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd. Noor, pihaknya pada awalnya menerima laporan berlaku kemalangan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati penunggang motosikal jenis Honda EX5 itu dipercayai terbabas sendiri ke dalam tali air dan hanya melibatkan sebuah kenderaan.

“Selepas mayat diangkat ke atas jalan, terdapat kesan kelar pada kanan kepala mangsa apabila topi keledarnya dibuka.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk bagi mengetahui sekiranya terdapat unsur jenayah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply