KUALA LUMPUR: Seorang pengurus kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

pemandu mabuk

Mohamad Nazrin Ramli, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amanina Mohamad Anuar.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa memandu kereta Perodua Myvi di bawah pengaruh alkohol sebanyak 71 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah.

Ia melebihi 21 mg alkohol daripada had yang ditetapkan iaitu 50mg alkohol dalam 100ml kandungan darah.

Tertuduh didakwa tidak berdaya mengawal kenderaan itu sehingga melanggar penunggang motosikal, Ramli Abdul Ajit, 40, di Jalan Kuching menghala pusat bandar di sini, pada pukul 12.10 tengah malam, 12 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda lingkungan RM50,000 sehingga RM100,000.

Selain itu, turut hilang kelayakan memandu untuk tempoh tidak kurang 10 tahun dari tarikh disabitkan kesalahan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf manakala tertuduh diwakili peguam J. Thilagavathy.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesennya digantung sementara menunggu pelupusan kes.

Sebutan kes ditetapkan pada 2 Jun ini.

Sumber: Utusan Malaysia

Share.

Leave A Reply