Membenarkan Pelajar Untuk Pulang Beraya Adalah Keputusan Yang Salah | Sebuah persatuan pelajar telah mengkritik keputusan pihak atasan yang membenarkan pelajar universiti untuk pulang menyambut aidilfitri kampung halaman masing-masing. Katanya pihak kerajaan dan universiti haruslah berpegang dengan perancangan awal untuk mengekalkan semua pelajar di kampus masing-masing.
Presiden Persatuan Pengajian Tinggi Malaysia Ooi Tze Howe berkata, keputusan tersebut mewujudkan lompong dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) dan bertentangan dengan matlamat sekatan.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang mempunyai kampus di Skudai dan Kuala Lumpur, minggu lalu memutuskan untuk menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus sehingga akhir tahun akademik.
Kerajaan telah mengumumkan bahawa kampus UTM Skudai akan diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) akibat lonjakan kes yang begitu tinggi dan mendadak.
Dimaklumakan bahawa kira-kira 2,000 pelajar telah dibenarkan untuk meninggalkan kampus untuk pulang beraya di kampung halaman mereka untuk menyambut aidilfitri. Tidak diketahui juga sama ada terdapat dalam kalangan mereka yang dijangkiti virus covid-19 semasa berada di negeri masing-masing.
Ooi menyambut baik keputusan UTM menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus disebabkan lonjakan kes Covid-19 di seluruh negara, namun katanya, keputusan membenarkan mereka pulang pada mulanya adalah salah. Ooi menggesa pihak universiti untuk mengambil pendekatan akademik yang lebih fleksibel, tanpa mengorbankan standard.
Pada Mac, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengarahkan semua pelajar yang berada di kampus untuk kekal berada di kampus masing-masing, manakala bagi para pelajar yang berada di luar kampus, kelas dalam talian akan diteruskan sehingga tamat tempoh PKP.
Menurut Ooi, mata pelajaran yang memerlukan sesi praktikal, seperti kerja dalam makmal, boleh ditangguhkan ke semester akan datang, dan keutamaan patut diberikan kepada mata pelajaran yang boleh diajar secara maya. Beliau juga menyeru agar pihak universiti segera merombak kursus akademik dengan mereka bentuk semula sesi praktikal supaya ia boleh dijalankan dalam talian menggunakan perisian simulasi.
Ahli eksekutif majlis pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Omar Tuah berkata, keputusan untuk menangguhkan kepulangan pelajar ke kampus perlu bergantung kepada lokasi mereka. Universiti yang berada di zon hijau mungkin boleh membenarkan pelajarnya kembali ke kampus.
Sumber: Free Malaysia Today